KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Lobong, Pulau Gaya gempar seketika apabila kelibat seekor buaya yang berada di persekitaran perkampungan atas air tersebut petang semalam.
Bagaimanapun, tindakan berani sekumpulan penduduk kampung berjaya menangkap buaya jantan sepanjang 14.5 kaki dengan anggaran berat 200 kilogram (kg).
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga menerima laporan buaya tersebut ditangkap oleh penduduk kampung pada 5 petang semalam.
Kemudian pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu JHL Sabah dalam operasi penyerahan buaya untuk dipindahkan ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi.
“Kami turut berterima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Gaya kerana membuat laporan kepada polis dan menyerahkan buaya tersebut kepada pihak berwajib.
“JHL menasihatkan orang awam untuk menyampaikan laporan rasmi mengenai kehadiran hidupan liar di kawasan mereka kepada pihak berwajib.
“Orang awam juga dinasihati untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri dalam menangani konflik hidupan liar dengan manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Safaruddin Rusline berkata, pasukannya tiba di Pulau Gaya pada 7 malam setelah menerima laporan mengenai tangkapan buaya tersebut.
Pasukan APM berjaya membawa buaya seberat 200kg itu tiba di pondok kawalan APM Tanjung Aru pada 10 malam untuk diserahkan kepada JHL.
Buaya jantan tersebut dibawa oleh JHL ke pusat penyelamat Taman Hidupan Liar Lok Kawi untuk pemeriksaan kesihatan sementara menunggu tindakan lanjut penghantaran ke penempatan baru yang belum dikenalpasti.
Operasi pemindahan yang dilakukan APM selesai pada 1.03 pagi tadi. – UTUSAN ONLINE