PENDANG: Seramai 500 penduduk di tiga kampung di Mukim Air Putih di sini merayu kerajaan negeri mempertimbang permohonan mereka mendapatkan hak milik tanah yang diterokai sejak 1970- an lagi.
Tiga kampung terlibat ialah Kampung Paya Serdang, Kampung Paya Asam Pagi dan
Kampung Baru di sini.
Menurut wakil penduduk, Ishak Ahmad, 56, kebanyakan penduduk di kampung itu merupakan generasi ketiga yang turut mengusahakan tanaman padi, getah dan kelapa sawit.
“Penduduk di kampung itu mula memohon untuk mendapatkan hak milik tanah tersebut daripada kerajaan negeri sejak tahun 1980-an.
“Penduduk telah menggunakan saluran betul terpaksa melalui Pejabat Tanah dan Daerah Pendang bagi proses memohon hak milik tanah tersebut, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan surat rayuan permohonan hak milik tanah kepada Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim di Kampung Paya Serdang di sini, hari ini.
Surat rayuan itu diserahkan oleh wakil penduduk, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya Serdang, Mohd. Nazri Ahmad.
Ishak menambah, keadaan itu menyebabkan penduduk terlibat semakin buntu dan berharap kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor dapat mempertimbang permohonan mereka itu.
Wakil masyarakat Siam, Ren Erem, 59, pula berkata, seramai 50 penduduk keturunan Siam juga memohon hak milik tanah tersebut yang diusahakan seluas kira-kira 80 hektar sebelum ini.
“Kami sudah dua kali melalui proses ukur tanah yang dikata sebahagian proses mendapatkan geran, tetapi belum ada keputusan dicapai sehingga sekarang
“Kebanyakan penduduk bukan orang senang, hanya rumah dan tanah kebun ini sahaja yang diusahakan sebagai sumber pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, berkata, pihaknya akan membawa isu berkenaan kepada kerajaan negeri agar permohonan penduduk dapat dipertimbangkan segera. -UTUSAN ONLINE