PETALING JAYA : Tindakan penagih dadah cuba melarikan diri dengan memandu kereta secara melulu, gagal apabila dia berjaya ditahan selepas 20 minit dikejar dalam satu kejadian, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, ia melibatkan sepasukan anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) membuat penugasan di Jalan 18/16B, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, anggota polis kemudian menahan sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 34 tahun.
“Ketika mahu melakukan pemeriksaan, suspek bertindak memecut kereta dinaikinya untuk melarikan diri hingga hampir melanggar orang awam yang berada di lokasi.
“Anggota polis mengejar kereta suspek kira-kira 20 minit sebelum dia berjaya ditahan di hadapan sebuah bank di Pekan Lama, Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, suspek enggan keluar dari kenderaan dengan mengunci pintu menyebabkan pihak polis memecahkan cermin tingkap kereta berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.
Menurutnya, ketika proses tangkapan itu, dua anggota polis cedera ringan di tangan kiri dan menerima rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan satu tiub straw disyaki dadah jenis heroin seberat 0.30 gram dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin.
“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah serta lapan rekod dadah dan suspek direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” jelasnya-UTUSAN