Pemuda UMNO Sabah tolak Mageran - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Sabah tolak Mageran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Sabah tidak melihat penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai langkah terbaik untuk menangani penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Pemuda UMNO Sabah senada dengan pemimpin di peringkat nasional bahawa pelaksanaan Mageran tidak perlu dalam menyelesaikan krisis kesihatan yang berlaku pada masa kini.

Ketua Pemuda UMNO Putatan Mohd. Reduan Aklee berkata, langkah terbaik adalah membuka semula Parlimen apabila darurat ditamatkan bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen menyuarakan isu-isu rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau sependapat dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bahawa darurat perlu ditamatkan bagi membolehkan Parlimen dibuka supaya ada semak dan imbang dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

“Apabila Parlimen dibuka, kita dapat bertukar pandangan dan mencari titik persamaan dalam mencari penyelesaian kepada setiap masalah. Buka Parlimen dan biar ahli Parlimen kita berdebat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik menangani penularan Covid-19,” katanya dalam sesi temubual secara langsung menerusi Facebook semalam.

Katanya, sebelum menubuhkan satu badan seperti Mageran, semua pemimpin negara kena mencari titik persamaan dalam mengawal penularan Covid-19.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Langkah Sheraton boleh berlaku dalam keadaan politik ketika ini apabila kedua-dua belah pihak iaitu Perikatan Nasional (PN) dan PH masing-masing mempunyai majoriti.

“Pada masa ini, kita tidak tahu jumlah majoriti sebenar kerana Parlimen tidak dibuka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan, Perdana Menteri interim akan dilantik semula sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin meletak jawatan secara sukarela.

Berdasarkan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri tanpa perlu memperkenan pembubaran Parlimen. Perkara 43 pula memberi kuasa kepada Agong untuk melantik Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

“Sekiranya Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan secara sukarela, tidak mustahil untuk Perdana Menteri interim dilantik semula.

“Malah, tiada spesifik dinyatakan tentang lantikan Perdana Menteri interim dalam Perlembagaan Persekutuan, yang ada hanya berkaitan lantikan Perdana Menteri.

“Lantikan itu (Perdana Menteri interim) atas budi bicara Agong dan perkara ini sudah pernah berlaku dalam sejarah negara semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan dan Tun Mahathir diangkat semula sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu lantikan Perdana Menteri baharu.

“Untuk itu, sekiranya Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan, Agong akan memanggil semua ketua-ketua parti dan ahli Parlimen untuk menentukan siapa diantara ahli Dewan Rakyat itu mempunyai sokongan majoriti untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya