PETALING JAYA : Waktu operasi kedai makan perlu diperluaskan dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam memandangkan tren kes jangkitan harian menurun dan peningkatan kadar sembuh Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Saari berkata, operasi kedai makan bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam bukan sahaja amat menyukarkan rakyat khususnya bekerja untuk membeli sarapan dan makan malam, selain menjejaskan pendapatan peniaga kecil.
Katanya, had operasi kedai makan yang singkat telah menyebabkan kebimbangan dan kerisauan rakyat yang melihat seolah-olah kerajaan tidak ada jalan penyelesaian untuk membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.
“Justeru, Dewan Pemuda Pas Malaysia percaya sudah tiba masanya kedai makan dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam. Ini sekaligus dapat membantu menyelesaikan isu kekurangan pendapatan pengusaha kedai makan dan penjaja serta masalah kesukaran membeli makanan.
“Pembukaan operasi kedai makan akan dapat mengendurkan kerisauan mereka serta mengurangkan tekanan dalam kalangan masyarakat, apabila mereka dapat menikmati sedikit kehidupan mereka seperti biasa sebelum adanya pandemik.
“Sudah tiba masanya kerisauan dan ketakutan rakyat dikendurkan secara perlahan-lahan, dan memastikan mereka dapat menikmati kehidupan mereka dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan hanya dibenarkan bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam.
Operasi perniagaan antaranya penjualan makanan pandu lalu, kedai runcit, kedai serbaneka yang sebelum ini dibenarkan hingga pukul 10 malam. -UTUSAN