PETALING JAYA : Seorang jurujual peralatan komputer ditahan susulan ciapannya mengenai peruntukan kerajaan membangunkan laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Penahanan suspek berusia 36 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi Unit Jabatan Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Bukit Aman di Kota Damansara, Petaling Jaya di sini.
Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan/Perundangan), Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, turut dirampas iaitu sebuah unit telefon bimbit dan modem yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan ini.
Kata beliau, permohonan reman telah dibuat di hadapan Majistret dan suspek dibenarkan ditahan selama sehari pada hari ini.
“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana orang yang melalui apa cara dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakukan atau kebimbangan awam.
“Begitu juga kepada mana-mana golongan menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Azman, polis menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang awam berhubung langkah yang diambil kerajaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
“Orang ramai perlu menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam dan mengganggu gugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja berbuat demikian,” tegasnya.
Terdahulu, seorang pemilik akaun Twitter Abah@ChairmanGLC telah memuat naik ciapan pada 29 Mei lalu dengan mendapat 4,707 retweet, 115 quote tweet dan 3,783 tanda suka.
Pemilik berkenaan memuat naik mengenai aplikasi Mysejahtera yang tidak mendapat peruntukkan sebanyak RM70 juta.-UTUSAN ONLINE