Pemilik restoran makanan stimbot didakwa terima rasuah RM7,000 - Utusan Malaysia

Pemilik restoran makanan stimbot didakwa terima rasuah RM7,000

CHEAH Yew Chuen ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini . UTUSAN / FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik restoran makanan stimbot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM7,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh Cheah Yew Chuen, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan Yew Chuen didakwa secara rasuah telah menerima suatu suapan melalui cek bernilai RM7,000 daripada seorang individu yang mewakili sebuah premis Pub & Cafe.

Wang rasuah itu dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh sebagai dorongan agar lelaki itu mempercepatkan proses pembayaran insentif daripada sebuah syarikat minuman keras berjumlah RM100,000 kepada premis tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Jalan Ipoh Rivercity, Jalan Sultan Azlan Shah di sini pada 27 November 2018.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Tuan Attfina Tuan Kamaluddin menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh termasuk syarat tambahan supaya menyerahkan pasport pada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM.

Bagaimanapun peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan selain mempunyai penyakit gout yang memerlukan rawatan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

“Tertuduh perlu menyerahkan pasport dan melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan sehingga kes selesai,” kata hakim itu.

Tarikh 14 Julai ini ditetapkan untuk sebutan kes dan serahan dokumen.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya