KUANTAN: Pemilik pusat peranginan di sebuah daerah di negeri ini yang didakwa dibina atas tanah kerajaan tanpa kebenaran sah menafikan dakwaan itu.
Pengarah urusannya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, operasi pusat peranginan di daerah itu mempunyai permit perniagaan dan semua cukai-cukai berkaitan dibayar dengan sempurna.
Beliau menjelaskan, tanah di mana pusat peranginan itu dibina adalah hak milik persendirian.
“Tidak benar sama sekali, jadi, tidak timbul isu tentang persoalan dibangkitkan oleh Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) bahawa pusat peranginan itu dibina atas tanah kerajaan tanpa kebenaran sah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli hari ini mendakwa, tiga buah pusat peranginan yang terletak di sebuah daerah di negeri ini dibina atas tanah kerajaan tanpa kebenaran sah.
Presiden PSAP itu mendakwa, ia menimbulkan tanda tanya selepas menjalankan siasatan terhadap maklumat diperoleh tentang resort terbabit.
Dakwa Haslihelmy, bukan sahaja pengoperasian resort tanpa kebenaran, tetapi turut menggunakan sumber air mentah tanpa kebenaran di bawah enakmen air.
Ekoran itu, Penasihat PSAP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir meminta pemilik pusat peranginan tersebut membela diri dan membersihkan namanya berhubung perkara itu.
Zuhairi berkata, persoalan dibangkitkan Haslihelmy bukan untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak termasuk pengusaha resort berkenaan.
Jelasnya lagi, tiada persengketaan antara PSAP dan pemiliknya tetapi sekadar untuk membersihkan nama pusat peranginan itu jika ia dipihak yang benar.
Shariffa Sabrina turut menafikan dakwaan pusat peranginan itu menggunakan sumber air mentah tanpa kebenaran di bawah enakmen air.
“Berhubung perkara berkenaan, saya telah menulis surat kepada Badan Kawal Selia Air di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang berhubung ketiadaan bekalan air paip di situ,” katanya. -UTUSAN ONLINE