KUANTAN: Pemilik pusat peranginan di sebuah daerah di negeri ini yang didakwa dibina atas tanah kerajaan tanpa kebenaran sah perlu tampil membela diri dan membersihkan namanya berhubung perkara itu.
Penasihat Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, persoalan dibangkitkan oleh Presidennya, Haslihelmy DM Zulhasli bukan untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak termasuk pengusaha resort berkenaan.
“Jika persoalan tersebut tidak benar, maka, pemilik pusat peranginan itu perlu menjawabnya dan membuktikan bahawa dia berada di pihak yang benar.
“Ini penting supaya pemilik pusat peranginan itu tidak dituduh sebagai penceroboh kerana difahamkan beliau memiliki tanah yang luas dalam kawasan hutan di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Haslihelmy hari ini mendakwa, tiga buah pusat peranginan yang terletak di sebuah daerah di negeri ini dibina atas tanah kerajaan tanpa kebenaran sah.
Presiden PSAP itu mendakwa, ia menimbulkan tanda tanya selepas menjalankan siasatan terhadap maklumat diperoleh tentang resort terbabit.
Dakwa Haslihelmy, bukan sahaja pengoperasian resort tanpa kebenaran, tetapi turut menggunakan sumber air mentah tanpa kebenaran di bawah enakmen air.
Ekoran dakwaan berkenaan, PSAP meminta kerajaan negeri supaya menyiasat tentang operasi resort berkenaan yang mana turut timbul keraguan apabila ia dibuka berdekatan sungai.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, beliau merasakan tiada ada salahnya tindakan PSAP menerusi Presidennya mempersoalkan perkara tersebut.
“Tiada persengketaan antara PSAP dan pemiliknya tetapi sekadar untuk membersihkan nama resort itu jika ia dipihak yang benar,” katanya.
Sementara itu, usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan maklum balas pengusaha resort berkenaan berhubung persoalan tersebut. -UTUSAN ONLINE