PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan menahan individu yang menjadi pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Menterinyanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini termasuklah pemegang kad tersebut tidak akan ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal kerana tidak mahu menzalimi sesiapa.
“Sekiranya ada pemegang kad UNHCR, kita akan melepaskan mereka dan kita tak pernah pun melakukan perkara yang menzalimi sesiapa dalam negara ini,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian melalui aplikasi Zoom di sini hari ini.
Beliau juga menegaskan, dokumen pengenalan identifikasi pelarian yang berada di negara ini seharusnya dikeluarkan oleh kerajaan.
Ini berikutan selama ini pelarian yang berlindung di negara ini menggunakan kad pengenalan diri UNHCR.
Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan pertubuhan berkenaan, namun, ketika ini, sudah lebih 120,000 kad berkenaan sudah dikeluarkan kepada pelarian selain tinggal di negara ini lebih 30 tahun.
Justeru, katanya, kerajaan akan berbincang semula dengan UNHCR dan Wisma Putra bagi memastikan perkara itu tidak berlarutan dalam negara ini.
“Cuba kita fikirkan, bukankah patut kad yang ada dalam negara kita dikeluarkan oleh negara kita? Kalau dia PR (penduduk tetap) kita bagi lain, kalau dia bekerja kita beri permit… Ini tiba-tiba ada orang lain keluar kad lebih atas dari Jabatan Pendaftaran Negara.
“Jadi sepatutnya rakyat sedar, ini adalah perkara lama yang patut kita betulkan sekarang untuk masa depan lebih baik,” katanya.
Hamzah baru-baru ini mengundang kritikan susulan rancangan operasi KDN menangkap warga asing tanpa dokumen yang dilancarkan bersama dengan sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa dari 1 Jun hingga 14 Jun.
Pada 4 Ogos tahun lalu, media melaporkan kerajaan akan mengkaji semula kedudukan UNHCR di negara ini sebelum memutuskan tindakan susulan manakala kajian dan pertimbangan sewajarnya berhubung tindakan lanjut itu akan diserahkan kepada Wisma Putra. -UTUSAN ONLINE