LARUT: Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ketika ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemborong durian di sini mengenai pasaran raja buah itu menjelang musim durian tidak lama lagi.
Pemborong bimbang sekatan pergerakan penuh atau Perintah Kawalan Pergerakan (PK) 3.0 ketika ini akan menyebabkan pasaran terhad dan berlaku lambakan raja buah itu.
Namun, pemborong sudah mula membuat rancangan untuk memasarkan raja buah di beberapa negeri bagi mengelakkan lambakan semasa PKP 3.0 ketika musim durian luruh dijangka dua minggu lagi di sekitar Selama, Ijok dan Batu Kurau.
Pemborong, Mohamat Muhaiyuddin Osman, 42, berkata, ketika ini buah durian sudah mula luruh tetap belum begitu banyak.
Katanya, ketika ini dia sudah merancang untuk memastikan tidak berlaku lambakan durian akibat pasaran yang terhad berikutan PKP 3.0 apabila buahnya luruh dalam kuantiti yang banyak dijangka dua minggu lagi.
“Saya telah memohon permit rentas negeri bagi membolehkan saya menghantar buah durian ke negeri lain seperti Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di Sungai Bayor, Selama sini semalam.
Menurutnya, selain itu dia juga memasarkan buah durian secara atas talian menerusi media sosial Facebook atas nama ‘Pemborong Buah Buahan Selama’ baru -baru ini.
“Kami menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan agar penggemar durian mendapat maklumat mengenai harga serta masa dan tempat penghantaran raja buah ini,” katanya.
Rakannya, Asrul Affendi, 40, berkata, mencari pasaran durian semasa PKP merupakan cabaran yang perlu diatasi oleh pemborong pada musim durian kali ini.
Katanya, dengan perancangan pemasaran yang mereka susun, masalah pasaran mungkin dapat diatasi dengan cara menyusun jadual penghantaran durian di kawasan berdekatan seperti Daerah Kerian dan Larut Matang Selama di Facebook.
“Kami juga turut merancang untuk menghantar buah durian ke kilang yang membuat aiskrim,” katanya. -UTUSAN ONLINE