KUALA LUMPUR: Pendaratan 81 pelarian etnik Rohingya di Aceh Timur dilihat sebagai salah taktik ‘diversion’ atau pemesongan sindiket bagi mengaburi pergerakan memasuki Malaysia secara berkumpulan menggunakan bot nelayan tempatan atau asing tanpa dikesan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, Pasukan Petugas Khas (NTF) berkata, pihaknya menerusi Op Benteng akan meningkatkan kesiapsiagaan dan mengatur gerak aset maritim berdekatan perairan antarabangsa bagi mengesan pergerakan bot mencurigakan.
“Merujuk kembali kepada kes pendaratan Rohingya pada tahun 2019 dan 2020, etnik Rohingya dibawa secara berkumpulan ke Malaysia menggunakan bot nelayan yang dipercayai menerima upah dari sindiket untuk membawa masuk pelarian dari sebuah bot besar di perairan antarabangsa.
“Sehubungan itu, hasil maklumat risikan NTF percaya pendaratan ini juga menggunakan modus operandi yang hampir sama dan masih terdapat sebuah bot induk berada di perairan antarabangsa yang berkemungkinan telah melepaskan sebahagian Rohingya untuk mendarat di Aceh Timur dan bakinya masih menunggu masa untuk dibawa mendarat ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, NTF memandang serius laporan media yang dikeluarkan media Indonesia mengenai kehadiran 81 orang pelarian etnik Rohingya yang dikesan di sekitar pesisir pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Aceh Timur, Indonesia pada 4 Jun lalu.
“Kumpulan pelarian Rohingya berkenaan terdiri daripada 70 orang dewasa dan 11 orang kanak-kanak berjaya mendarat pada malam atau awal pagi 3 Jun yang mana pada asalnya adalah berjumlah 90 orang, namun, lapan orang telah meninggal dunia dan seorang hilang di laut.
“NTF akan meningkatkan pemantauan sebarang cubaan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dari titik keluar Tanjung Balai, Medan dan Dumai, Indonesia ke titik-titik pendaratan haram serta lorong tikus di sepanjang Pantai Barat Semenanjung,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, NTF berkata, keadaan susuk tubuh pelarian yang kelihatan sihat dan segar semasa ditemui penduduk setempat dipercayai menerima bekalan dan bantuan sindiket dari atas bot induk selain mempunyai akses telefon bimbit persendirian menunjukkan bahawa mereka dijaga baik sebelum mendarat ke destinasi yang dipilih.
“Maklumat mangsa yang mengatakan bot pelarian Rohingya telah ‘ditolak’ untuk memasuki perairan Malaysia adalah tidak benar memandangkan tiada sebarang pertemuan berlaku di antara pihak berkuasa Malaysia dengan bot tersebut menyangkal maklumat yang diberi oleh pihak mangsa.
“NTF tidak akan berkompromi dengan sindiket dan pengkhianat negara yang terlibat dengan penyeludupan pelarian Rohingya dan PATI ke negara ini. Tindakan keras akan dikenakan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Antipsom) 2007,” ujarnya.
Sebarang laporan atau maklumat berkaitan kemasukan PATI yang melalui titik pendaratan haram dan lorong tikus ke talian Hotline NTF 011- 6251 1223. -UTUSAN ONLINE