KOTA KINABALU: Laporan Pelan Hala Tuju Air Sabah yang dijangka siap dalam masa terdekat ini akan membantu menyelesaikan masalah air yang sudah berlanjutan sekian lama di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, buat masa ini, pihaknya sedang menunggu laporan daripada jururunding mengenai masalah dan punca yang menyebabkan masalah air masih berlaku sehingga sekarang.
Menteri Kerja Raya Sabah ini berkata, laporan itu akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri secepat mungkin sebaik sahaja ianya siap.
“Kita sedang menunggu laporan itu siap sebelum dibentangkan dalam Kabinet Negeri. Masalah air yang berlaku di negeri ini sudah berlarutan berpuluh tahun sehingga kerajaan bertukar ganti tapi masih tiada penyelesaian holistik untuk menaik taraf bekalan air di Sabah .
“Saya yakin sekiranya kerajaan benar-benar prihatin dan fokus ingin membangunkan negeri Sabah, sudah pasti masalah ini mampu diselesaikan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Jika dilihat Sabah adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang masih mengendalikan air sendiri di bawah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedangkan bekalan air di negeri-negeri lain sudah lama diswastakan.
Menurutnya, JANS mengalami kerugian kira-kira RM300 juta selama hampir 10 tahun. Kadar air tidak berhasil (NRW) di Sabah juga begitu tinggi iaitu 57 peratus dan ini berpunca daripada kecurian air dan kebocoran paip yang sudah usang kerana digunakan sejak zaman British.
Bung Moktar berkata, ketika ini daripada 84 loji rawatan air di Sabah, 23 loji mengalami kerosakan akibat air sungai yang dicemari.
Untuk itu, kajian sedang dilakukan bagi melihat keperluan menyediakan kolam takungan hiliran (ORS) agar dapat memastikan bekalan air masih boleh disalurkan sekiranya berlaku masalah pada loji rawatan air.
Beliau turut memberi jaminan masalah bekalan air yang berlaku di Beaufort pada masa ini akan pulih dalam tempoh tujuh hingga 10 hari lagi.
Sejak berlaku banjir dua minggu lalu, penduduk di daerah tersebut berdepan dengan masalah gangguan bekalan air hingga menyebabkan beberapa kampung langsung tidak menerima bekalan air.
Buat sementara waktu ini, lori tangki air digerakkan ke kampung-kampung yang terjejas teruk sehingga bekalan air dipulihkan. -UTUSAN ONLINE