GEORGETOWN: Ibu bapa mula menarik nafas lega apabila anak-anak mereka semakin menunjukkan perkembangan positif dalam suasana norma baharu bagi sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) 3.0 yang bermula, semalam.
Rata-rata mereka yang ditemui Utusan Malaysia di sini memberitahu, penyusunan jadual kelas dilihat lebih tersusun dan mudah diikuti khususnya murid-murid sekolah rendah selain kesedaran tinggi pelajar untuk mengikuti PdPR disebabkan pandemik Covid-19 yang masih serius.
Seorang ibu, Nafisah Ali, 39, berkata, dua anaknya yang belajar pada Tahun Dua dan Tahun Empat kini lebih teruja mengikuti kelas PdPR 3.0 yang bermula semalam sehingga 16 Julai depan.
Menurutnya, pelbagai kaedah dilakukan sebelum ini termasuk menyediakan ruang belajar khas yang lebih ceria bagi meningkatkan semangat serta suasana pembelajaran norma baharu untuk buat dua cahaya matanya itu.
“Berbanding sebelum ini, jenuh saya paksa dan duduk di sebelah mereka untuk bersama-sama menyertai kelas dalam talian. Kali ini, mereka sudah mampu berdikari sendiri dan bersedia di hadapan telefon bimbit sebelum kelas bermula pukul 9 pagi,” katanya.
Sementara itu seorang lagi ibu, Hanifah Abd. Rahman, 38, memberitahu, penyediaan jadual kelas baharu yang lebih efisien memberi peluang kepada pelajar menumpukan tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran.
“Kali ini hanya melibatkan maksimum dua subjek dalam sehari serta sesi bimbingan dan kaunseling pada sebelah petang. Pelajar tidak lagi berasa terbeban dan tidak timbul kekeliruan sepanjang sesi PdPR dijalankan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Pulau Pinang, Mohd. Zaidi Said berkata, pihak pentadbir sekolah telah menyediakan jadual PdPR yang bersesuaian dan menepati kehendak guru dan pelajar supaya kedua-dua pihak dapat mengajar serta belajar dengan baik.
“Kehadiran pelajar kali ini juga lebih memuaskan dan mereka memberi maklum balas yang baik sewaktu guru mengajar,” katanya.- UTUSAN ONLINE