Pelacuran : Polis selamatkan 10 wanita warga asing - Utusan Malaysia

Pelacuran : Polis selamatkan 10 wanita warga asing

SALAH sebuah bilik di dalam kondominium di Butterworth, Pulau Pinang yang menempatkan 10 wanita warga asing yang dipercayai dijadikan mangsa pemerdangangan untuk aktiviti pelacuran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Polis menyelamatkan seramai 10 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di sebuah kondominium di sini malam tadi. 

Kesemua mereka diselamatkan menerusi Ops Pintas membabitkan dua pegawai dan 13 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) kira-kira pukul 8.50 malam. 

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, wanita berusia di antara 31 hingga 36 tahun berkenaan terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan Indonesia. 

Menurut beliau, dalam serbuan itu polis turut menahan dua lelaki berusia 34 dan 41 tahun disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut bagi siasatan lanjut. 

Selain itu jelasnya, pelbagai barangan turut dirampas termasuk kondom, jeli pelincir, tisu, telefon bimbit dan sebuah kereta. 

“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dengan salah seorang daripadanya dikehendaki bagi satu kes penipuan di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Menurut Noorzainy, kegiatan itu didapati beroperasi sejak kira-kira setahun lalu dengan menjadikan hotel-hotel sebagai transit. 

Bagaimanapun jelasnya, operasi sindiket berkenaan terganggu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula 1 Jun lalu sehingga memaksa mereka berpindah ke kondominium. 

“Polis kini sedang menggiatkan usaha mencari dalang sindiket ini kerana individu yang ditahan hanya bertindak sebagai penjaga dan penghantar makanan kepada mangsa,” katanya. 

Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya