SEREMBAN: Peningkatan kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada saringan bersasar yang dilakukan terhadap pekerja terutama daripada sektor perindustrian.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, selain saringan kontak rapat dan saringan bergejala, turut menyumbang kepada peningkatan bilangan kes positif adalah peningkatan kes import dari negeri yang berjiran.
Jelas beliau, ia berikutan rakyat di negeri ini yang bekerja di negeri berjiran dan seterusnya menjangkiti ahli keluarga masing-masing.
“Masih terdapat juga kes-kes yang dikesan dari kluster komuniti yang berlaku sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Namun begitu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 bagi Negeri Sembilan telah menurun dari 1.23 pada 5 Jun 2021 kepada 1.05 yang dicatatkan semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, terdapat 618 kes baharu positif Covid-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan.
Jumlah tersebut menjadikan Negeri Sembilan menjadi negeri kedua tertinggi selepas Selangor yang mencatatkan kes positif Coivd-19 iaitu sebanyak 1,582 kes. -UTUSAN ONLINE