ALOR SETAR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa Menteri Dalam Negeri segera meluluskan pendaftaran parti itu untuk memberi pilihan kepada rakyat untuk menyertainya dan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, tindakan melengah-lengahkan pendaftaran Pejuang bermotifkan politik dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
“Pejuang menzahirkan rasa kekesalan terhadap sikap pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang cuba menghalang pilihan rakyat untuk menyertai parti politik dan bertanding dalam pilihan raya dalam sebuah sistem demokrasi.
“Pejuang menggesa Menteri Dalam Negeri untuk meluluskan pendaftaran Pejuang dengan kadar segera tanpa melengah-lengahkannya lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, Pejuang amat menghargai dan menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memanggil Pejuang untuk diterima mengadap sebagai salah seorang pimpinan parti politik tanah air di Istana Negara, baru-baru ini.
“Namun sekali pun Tuanku mengiktiraf Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pimpinan sebuah parti politik berdasarkan jemputan tersebut.
“Apa yang menghairankan adalah pendirian kerajaan PN melalui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang masih sehingga kini tidak membuat sebarang keputusan untuk meluluskan pendaftaran Pejuang dan berusaha untuk menggunakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk menghalang gerakan Pejuang sebagai sebuah parti politik yang sah,” katanya.
Baru-baru ini Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 23 Jun ini bagi kepuusan permohonan Pejuang untuk mencabar Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka mendaftar parti itu.
Pada 2 Februari lalu akhbar melaporkan, Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu setelah permohonan mereka ditolak. – UTUSAN ONLINE