PdPR bukan hanya dalam talian sahaja - Utusan Malaysia

PdPR bukan hanya dalam talian sahaja

DR. RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Konsep pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bukan hanya secara dalam talian, namun pelaksanaannya turut merangkumi kaedah manual dengan mengikut kesesuaian guru dan murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pemahaman terhadap aspek PPdR perlu diperbetulkan dengan ia tidak sekadar pembelajaran secara dalam talian atau online semata-mata.

Jelas beliau, kaedahnya adalah pelbagai dengan mengikut kesesuaian guru dan murid yang terlibat.

“Ada guru, ada murid mempunyai peranti, boleh guna peranti. Tiada peranti, boleh guna cara lain.

“Boleh guna macam-macam kaedah, macam contoh ada TV pendidikan iaitu Didik TV boleh tengok dari pukul 7 pagi sehingga 12 tengah malam, ada bermacam-macam dalam tempoh tempoh itu siaran kokurikulum. 

Ibu bapa boleh tengok hari ini jadual apa dan boleh tengok bersama anak-anak di depan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PdPR untuk tempoh 25 hari iaitu bermula sesi persekolahan dibuka pada 13 Jun bagi kumpulan A manakala kumpulan B pula pada 14 Jun ini.

Kumpulan A ialah Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B melibatkan negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Perkara itu berjalan sehingga sesi cuti pertengahan penggal pada 16 dan 17 Julai ini.

Dalam pada itu, Radzi menambah, cara PdPR lain adalah secara ‘offline’ iaitu guru menggunakan WhatsApp untuk menghantar tugasan dan melakukan perbincangan dalam aplikasi tersebut.

“Ada juga guru hantar tugasan manual ke sekolah dengan ibu bapa pergi ambil di sekolah. Jadi ada bermacam-macam pendekatan digunakan dalam menyampaikan PdPR ini.

“Apa yang penting kaedah terbaik mengikut kesesuaian guru dan murid,” jelas beliau.- UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN