JERANTUT : Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dengan kerjasama jabatan kerajaan di sini telah mengadakan kempen pendaftaran vaksinasi dari rumah ke rumah membantu serta kemudahan bagi penduduk kawasan bandar Jerantut menerima suntikan vaksin
Yang Dipertua Majlis Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris berkata, MDJ dengan kerjasama wakil agensi kerajaan mula mengedarkan borang pendaftaran vaksinasi secara terus ke setiap buah peti surat rumah di taman perumahan bandar Jerantut kawasan Mukim Pedah bermula beberapa hari lalu.
“Beberapa kawasan perumahan di sini yang mempunyai Kelab Rukun Tetangga (KRT) juga akan meneruskan kempen serta mengedar borang pendaftaran imunisasi di tempat masing-masing di bawah seliaan Pejabat Perpaduan Daerah Jerantut.
“Penduduk termasuk yang berusia 18 tahun ke atas adalah layak untuk mendaftar vaksinasi COVID-19 dan diminta memberikan kerjasama dengan mengisi borang yang
diedarkan, kemudiannya meletakkan semula di dalam peti surat rumah masing-masing sebelum dipungut dalam tempoh dua hari ini,” katanya di sini baru-baru ini.
Katanya, penduduk taman perumahan di sini juga boleh menghantar borang tersebut melalui talian Whatsapp atau e-mel seperti yang tercatat di ruangan bawah borang pendaftaran tersebut.
Khairun Nissa yang juga Pegawai Daerah Jerantut seterusnya berkata, usaha MDJ dengan kerjasama agensi kerajaan di sini bagi membantu kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyasarkan 80 peratus penduduk negeri ini mendaftar serta menerima suntikan vaksin.
“Marilah sama-sama kita menjayakan matlamat ini supaya usaha membendung penularan wabak COVID-19 tercapai serta berjaya sekali gus jaminan kesejahteraan kehidupan pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE