SHAH ALAM-Pengusaha-pengusaha bas sekolah di negeri ini, Putrajaya dan Kuala Lumpur tidak mampu bertahan lagi untuk meneruskan perniagaan bas sekolah.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL), Mohd. Haron Mohd.Sidik berkata, pengusaha bas mengadu semua duit simpanan yang ada telah habis dibelanjakan sepenuhnya untuk membaik pulih bas atau van sekolah semasa sesi persekolahan dibenarkan Mac tahun ini.
“Pengusaha bas juga telah menggunakan simpanan untuk membeli insuran, pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan sebagainya setelah pengumuman sekolah akan dibuka pada 8 Mac lalu.
“Ada yang berhutang dan ada yang ke pajak gadai untuk memastikan perniagaan mereka dapat diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Haron berkata, apabila sekolah ditutup semula pada minggu pertama bulan Mei tahun ini dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pengusaha menjadi buntu bagaimana hendak menyelamatkan perniagaan mereka lagi.
Katanya lagi, jika sekolah dibuka semula, dimana mereka hendak mencari duit untuk pemeriksaan Puspakom dan sebagainya.
“Hutang semakin bertambah-tambah. Setiap hari pihak bank dan pihak kredit menelefon pengusaha menyuruh mereka membayar ansuran bulanan.
“Belum lagi dikira duit sara hidup keluarga dan hutang-hutang lain.PBSSPKL dengan itu merayu kepada kerajaan berikanlah moratorium secara automatik sehingga 31 Disember tahun ini,”katanya. -UTUSAN ONLINE