PBS yakin isu pertukaran kerajaan tidak dibangkitkan - Utusan Malaysia

PBS yakin isu pertukaran kerajaan tidak dibangkitkan

MAXIMUS J . ONGKILI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) meletak keyakinan kepada semua pemimpin politik untuk mengenepikan isu pertukaran kerajaan ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, semua parti pembangkang tidak akan membangkitkan isu pertukaran kerajaan kerana rakyat mahukan Covid-19 ditangani dengan segera.

“Rasanya ketika ini rakyat di peringkat akar umbi tidak peduli siapa ada majoriti untuk menjadi kerajaan.

“Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Penaja Pejuang) juga menyatakan mereka mahu kestabilan kerana terdapat keperluan untuk menangani segera Covid-19 agar ekonomi kembali pulih.

“Jika dilihat terdapat sebanyak 5,738 kes hari ini dan sekiranya ada parti yang membangkitkan tentang majoriti, saya rasa mereka tidak bertanggungjawab dan langsung tidak peduli tentang situasi yang berlaku di dalam negara,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ini berkata, beliau meletak sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku ketua kerajaan untuk menentukan tarikh Parlimen bersidang.

Jelasnya, jika dilihat kembali undang-undang yang ada, Perdana Menteri selaku ketua kerajaan mempunyai kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan tarikh persidangan Parlimen.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri, beliau memberi gambaran persidangan Parlimen hanya akan diadakan selepas darurat tamat pada Ogos ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Marudu ini berkata, PBS akan terus kekal sebagai rakan sekutu atau rakan kongsi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan juga Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, kata beliau, jika kedudukan mereka lemah dalam gabungan itu, akan ada keperluan untuk mengkaji semula pendirian tersebut.

Namun setakat ini kedudukan PBS dalam GRS dan PN masih kukuh dan rakan-rakan dalam gabungan juga menghormati kedudukan dan menghargai sumbangan PBS.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya