PBS tidak sokong pendaftaran automatik Undi 18 - Utusan Malaysia

PBS tidak sokong pendaftaran automatik Undi 18

MAXIMUS J. ONGKILI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) bercadang menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat bahagian bagi melaksanakan program yang boleh menarik sokongan pengundi muda dalam pilihan raya akan datang.

Menerusi jawatankuasa ini, PBS akan mula mempromosikan parti ini kepada golongan muda bermula dari sekarang agar apabila Undi 18 dilaksanakan, tiada masalah untuk mendapatkan sokongan pengundi muda.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, PBS menghargai peranan golongan muda yang kini sebahagian daripada pembuat keputusan namun, parti ini masih tidak bersetuju pendaftaran secara automatik dilakukan bagi pengundi berusia 18 tahun. Ia kerana pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Sabah masih tercemar oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bagaimanapun, kata beliau, PBS telah melakukan persediaan dengan menubuhkan Pergerakan Belia dan Beliawanis Bersatu (PBBB) untuk menggalakkan golongan belia yang berusia 18 tahun untuk menyertai parti ini.

“Sebagai parti tempatan tertua di Sabah, PBS telah lama dikatakan parti orang tua, tetapi penglibatan golongan ini boleh merubah persepsi tersebut.

“PBS menerima golongan ini dengan tangan terbuka kerana sebagai parti politik berbilang kaum, PBS adalah rumah untuk semua orang.

“Kita perlu menyediakan ruang untuk golongan muda menyuarakan pendapat, berkongsi pandangan dan memainkan peranan mereka dalam pembangunan negara,” katanya semasa perasmian Persidangan Agung Tahunan PBS secara dalam talian hari ini.

Mengulas lanjut, Maximus menyatakan PBS akan terus memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“PBS gigih memperjuangkan hak-hak Sabah, tanpa 20 Perkara dan MA63, tidak akan wujud Malaysia. Kita mahu memastikan pengorbanan rakyat dan negeri Sabah diperakui, terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan pembentukan negara ini.

“Oleh itu, Sabah dan Sarawak mesti diperakui dan diberi penghormatan yang sewajarnya. Bagi hal-hal yang berkaitan PATI, kita harus menanamkan dalam hati dan fikiran kita bahawa Sabah adalah tanah kita, kita adalah pemilik yang sah,” katanya.

Maximus, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ini berkata, seiring dengan perkembangan teknologi digital, PBS akan cuba memanfaatkan ruang digital yang luas ini kerana budaya politik hari ini tidak lagi konservatif seperti dulu.

Ahli Parlimen Kota Marudu ini berkata, rakyat kini mula beralih ke media sosial atau blog untuk mendapatkan perkembangan politik terkini.

“Jika kita buta teknologi maklumat (IT), maka kita tidak akan dapat mempertahankan tomahan yang dilemparkan pihak ke atas PBS.

“Atas sebab itu, ahli-ahli PBS perlu aktif memanfaatkan penggunaan ICT. Ini adalah tiket untuk PBS maju ke hadapan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya