PETALING JAYA: Kerajaan diingat untuk memastikan tidak berlaku ketirisan, penyalahgunaan atau pembaziran terhadap wang sumbangan penjawat awam berikutan dana tersebut adalah amanah perlu dipikul bagi memastikan ia benar-benar disalur bagi tujuan mendepani pandemik Covid-19.
Dana yang dijangka dapat dikumpulkan sehingga RM30 juta itu merupakan manifestasi solidariti penjawat awam apabila imbuhan tetap mereka akan dipotong selama tiga bulan bermula bulan ini.
Malah, dana itu juga perlu dipastikan dapat membantu meningkatkan kapasiti kesihatan awam termasuk penambahan tempat bagi unit rawatan rapi (ICU), sumber tenaga dan program vaksinasi.
Hal itu ditegaskan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu kenyataan yang menyedari kerajaan berhadapan kekangan fiskal untuk meningkatkan kapasiti sektor kesihatan awam serta penerusan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
“Kerajaan sedaya upaya berusaha meluaskan bantuan ini kepada seramai mungkin rakyat. Mungkin strategi ini boleh diperbaiki dengan memastikan golongan paling terjejas menerima lebih banyak bantuan.
“Kita tidak mahu pelaksanaannya nanti terjadi ketirisan, ketidakcekapan sistem serta pembaziran. Ekuiti dalam pengagihan bukan bermakna semua mendapat bantuan yang saksama. Mereka yang memerlukan lebih wajar menerima lebih banyak dan yang kurang terjejas, menerima sekadarnya,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali memaklumkan lebih 800,000 penjawat awam diwajibkan menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana Covid-19.
Penjawat awam yang terlibat dengan pelaksanaan pemotongan imbuhan itu adalah berdasarkan gred jawatan yang melibatkan 50 peratus bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A ke atas; JUSA B, 20 peratus dan JUSA C, 10 peratus.
Sementara kakitangan awam Gred 56 hingga Gred 44 pula akan melibatkan pemotongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) iaitu lima peratus sementara Gred 29 hingga 41 pula akan dipotong RM10 daripada Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA).
Dalam pada itu Mohamad menambah, sumbangan ini mesti memberikan impak berganda dan penambahbaikan sistem pendaftaran vaksin perlu dilakukan.
“Peruntukan yang banyak mesti mendatangkan impak berganda. Kita mesti mengambil pengajaran dari pembangunan sistem pendaftaran vaksinasi, yang walaupun besar tetapi tidak berfungsi dengan baik dan menimbulkan kesusahan kepada rakyat.
“Semoga segala insentif Pemerkasa Tambahan (Pemerkasa Plus) yang diumumkan akan segera dilaksanakan tanpa berlengah, dengan telus, amanah dan cekap,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE