JERANTUT : Kedudukan kampung pedalaman yang jauh dengan bandar serta sekatan perjalanan berikutan penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) tidak menyulitkan bagi penduduk pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut berbelanja barang keperluan dapur apabila ada pihak yang menyediakan Pasar Bergerak.
Berasaskan kebenaran ini, Pasaraya Darul Makmur (PDM) Pahang di bawah penyeliaan pejabat Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) Jerantut telah memberikan keselesaan penduduk Hulu Tembeling yang ‘terperangkap’ dalam penguatkuasaan PKP Penuh apabila mengadakan perkhidmatan jualan barang kering dan barang basah menerusi operasi pasar bergerak.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, PDM dan MUIP hari ini telah memberi perkhidmatan jualan tersebut di empat buah kampung kawasan pedalaman Mukim Hulu Tembeling, iaitu Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai.
Beliau berkata, pasar bergerak PDM dan MUIP antara alternatif menyediakan bekalan barang kering dan barang basah kepada penduduk pedalaman di situ memandangkan kedudukan kampung tersebut agak jauh lebih 100 kilometer ke bandar Jerantut yang hanya menggunakan pengangkutan bot penambang dan kenderaan pacuan empat roda.
“Sebanyak tiga buah kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk memunggah barang keperluan dapur (barang kering) termasuk ikan, ayam, sayur-sayuran dan lada singgah berjualan di kampung tersebut
“Kemudahan pasar bergerak ini secara langsung memberikan keselesaan penduduk berbelanja barang keperluan harian memandangkan dalam tempoh penguatkuasaan PKP Penuh masih lama lagipun agak sukar mereka keluar ke bandar termasuk kewaspadaan ancaman pandemik Covid-19,” katanya di Kampung Kuala Sat dekat sini baru-baru ini.
Menurut Mohd Zakhwan, aktiviti pasar bergerak itu tidak melibatkan Kampung Pagi di Hulu Tembeling kerana lokasi berkenaan masih dalam arahan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 15 Jun ini berikutan penularan pandemik Covid-19 selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Penduduk yang keluar berbelanja telah dipantau oleh kakitangan MUIP dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, membuat catatan kehadiran, menggunakan pengimbas suhu dan peraturan tertentu,” katanya.
Mohd Zakhwan yang juga Ketua Pemuda Pas Pahang menambah PDM dan MUIP akan mengadalan aktiviti pasar bergerak kali kedua ke Hulu Tembeling dalam masa terdekat ini memandangkan bekalan yang dibawa operasi pertama hari ini tidak mencukupi terutamanya barang basah berasaskan permintaan perbelanjaan daripada ramai penduduk.
“Saya berterima kasih kepada pihak Ibu Pejabat PDM Pahang dan MUIP Jerantut yang telah mengambil inisiatif serta cukup endah dengan kebajikan penduduk pedalaman Hulu Tembeling khususnya kemudahan berbelanja keperluan harian mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE.