BUKIT MERTAJAM: Hanya 31 daripada keseluruhan 253 peniaga Pasar Awam Bukit Mertajam yang telah disaring di sini disahkan positif Covid-19 manakala selebihnya adalah negatif.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, sehubungan itu pihaknya mengambil keputusan membuka semula pasar awam itu mulai esok selepas semua peniaga dan pekerja berkenaan telah melepasi tempoh inkubasi yang ditetapkan iaitu selama 10 hari.
Bagaimanapun katanya, mana-mana peniaga atau pekerja yang masih berada dalam pengawasan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKD SPT) dan belum tamat tempoh kuarantin tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti di dalam pasar awam berkenaan.
Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang tindakan perundangan diambil terhadap mereka di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
“Bagi memastikan hanya peniaga yang benar-benar bebas daripada Covid-19 sahaja berada di Pasar Awam Bukit Mertajam, kawalan seawal pukul 4 pagi akan dibuat oleh MBSP untuk tujuan semakan saringan sebelum boleh masuk ke pasar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.
Terdahulu, pasar awam itu ditutup selama 10 hari bermula 31 Mei lalu untuk kerja-kerja sanitasi serta pengesanan kontak rapat selepas tiga daripada peniaga di situ disahkan positif Covid-19.
Dalam perkembangan berkaitan kata Rozali, MBSP telah membuat pemasangan kawat duri bagi mengawal kemasukan melalui beberapa ‘laluan tikus’ di sekitar pasar itu.
Justeru katanya, semua pihak diingatkan tidak merosakkan kawat duri yang dipasang itu selain cuba menggunakan mana-mana laluan yang telah ditutup.
“MBSP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu dikenal pasti terlibat dengan perbuatan vandalisme ini,” katanya.
Tambahnya, beliau berharap pembukaan sepenuhnya operasi perniagaan di Pasar Awam Bukit Mertajam itu mampu merancakkan semula aktiviti perniagaan di lokasi berkenaan. – UTUSAN ONLINE