Pas sokong tidak perlu desak PRU-15 - Utusan Malaysia

Pas sokong tidak perlu desak PRU-15

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas senada dengan pendirian Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengatakan bahawa mana-mana parti termasuk UMNO tidak perlu mendesak kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam waktu terdekat kerana negara masih bergelumang dengan pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berpandangan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak itu adalah amat tepat dan kena pada masanya.

Katanya lagu, fokus seluruh jentera kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri sekarang adalah bagi memerangi pandemik Covid-19 yang masih belum reda bukan sahaja di Malaysia namun di seluruh dunia.

“Justeru itu Pas turut menyeru semua pihak terutama parti-parti politik dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) tanpa mengira fahaman dan aliran pemikiran agar sama-sama dapat membantu kerajaan menguruskan dan menyelesaikan wabak yang merupakan darurat besar.

“Ini sekali gus bermaksud isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan, keburukan dan kerugian masa, tenaga dan kewangan wajar dielakkan semaksima mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Tajuddin dilaporkan berkata mana-mana parti termasuk UMNO tidak perlu mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya mengadakan PRU-15 dalam waktu terdekat ini.

Jelas beliau, jika tindakan tersebut diteruskan, ia hanya akan menyukarkan usaha kerajaan dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 pada ketika ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yakin kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang proaktif dengan mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak dalam memastikan manfaatnya dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Begitu juga parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak ini bukan sahaja dalam aspek kesihatan tapi juga aspek ekonomi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya