Parlimen hibrid, imuniti Ahli Parlimen dirampas - Utusan Malaysia

Parlimen hibrid, imuniti Ahli Parlimen dirampas

ROZMAN ISLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Persidangan Parlimen secara hibrid perlu mengambil kira aspek perundangan yang tidak terpakai apabila sesuatu perkara dibincangkan di luar Parlimen.

Itu antara perkara yang perlu menjadi pertimbangan kerajaan dalam mengadakan persidangan Parlimen dengan kaedah baharu yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, persidangan Parlimen secara hibrid memberi ruang kepada tindakan saman dikenakan kerana segala perkara yang dibincangkan bukan dilakukan dalam Parlimen.

“Tiada lagi imuniti kami selaku ahli Parlimen untuk menyuarakan isu-isu tertentu kerana bimbang tindakan perundangan boleh diambil, jadi memang sukar kalau tidak bersemuka.

AHMAD HASSAN

“Saya melihat tiada masalah untuk menjalankan persidangan secara konvensional kerana semua ahli Parlimen sudah menerima vaksin lengkap. Malah, keadaan dalam Parlimen itu juga membolehkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan,” katanya kepada Utusan Online .

Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Papar ini berkata, proses pengundian juga sukar dilakukan sekiranya ada peruntukan dana khas yang memerlukan undian daripada semua ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, cadangan mengadakan Parlimen secara hibrid ini jelas menunjukkan ketidakseriusan kerajaan.

“Parlimen Malaysia ini bukan besar mana pun, jika ia diadakan secara konvensional tidak menjadi satu masalah untuk mematuhi SOP kerana setiap meja ahli Parlimen memang mempunyai penghadang. Malah, semua ahli Parlimen juga sudah menerima vaksin yang lengkap.

“Jika prosedur menjalani kuarantin menjadi pertimbangan, semua ahli Parlimen tiada masalah untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin sebelum hadir ke sidang Parlimen. Perkara ini sudah dilakukan sebelum ini jadi ia bukan menjadi suatu masalah,” katanya.

Bilangan pegawai yang hadir ke Parlimen juga boleh dihadkan sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas ingin mengadakan persidangan Parlimen secara bersemuka.

“Saya lebih memilih untuk menghadiri Parlimen secara bersemuka kerana ia lebih berkesan berbanding diadakan secara maya,” katanya.

Cadangan mengadakan persidangan Parlimen secara hibrid ini dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Jumaat lalu bagi memastikan sidang Parlimen diteruskan walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya