Parlimen : Belum putuskan hibrid atau fizikal - Utusan Malaysia

Parlimen : Belum putuskan hibrid atau fizikal

TAKIYUDDIN kanan) berkata sesuatu kepada seorang warga emas yang hadir menerima suntikan vaksin di PPV Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu, hari ini. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan belum memutuskan sama ada untuk mengadakan persidangan Parlimen secara fizikal atau hibrid sebagaimana dicadangkan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kaedah hibrid mungkin menjadi pilihan jika parlimen tidak boleh bersidang secara bersemuka.

“Speaker baru mencadangkan kaedah hibrid kepada kerajaan namun kita belum memutuskan Parlimen akan bersidang guna kaedah mana.

“Parlimen dijangka bersidang akhir Ogos atau awal September sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Speaker kelmarin,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini hari ini.

Rais dan Azhar Azizan Harun semalam dilaporkan mendapat jemputan dari Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa ini bagi membincangkan mengenai persidangan Parlimen.

Ini susulan cadangan dikemukakan mereka bahawa persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun minggu pertama September tahun ini.

Mereka juga mencadangkan agar satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, mengikut undang-undang, notis untuk persidangan Parlimen akan dibuat selepas Ordinan Darurat tamat 1 Ogos depan.

“Bila tarikh Parlimen bersidang? Itu bergantung kepada Perdana Menteri kerana beliau akan memaklumkan kepada Speaker supaya keluarkan notis kepada Ahli Parlimen dalam tempoh 28 hari sebelum persidangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya