KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas sempat menghubungi anaknya bagi meminta tolong sebelum maut dalam kebakaran di kediamannya di Kampung Losong Haji Su di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, Fatimah Mohd., 79, ditemukan rentung di bawah runtuhan rumah manakala suaminya, Jusoh Muda, 82, melecur pada bahagian kaki.
Anaknya, Zailah Jusoh, 47, tidak menyangka panggilan diterima pada pukul 10.37 pagi itu merupakan yang terakhir daripada ibunya ketika mangsa dalam kecemasan dan bertarung nyawa untuk menyelamatkan diri.
Katanya, mangsa yang mengalami masalah tulang sejak sembilan tahun lalu dan bergerak menggunakan kerusi roda hanya tinggal berdua bersama bapanya di rumah berkenaan manakala anak-anak duduk berasingan.
“Emak telefon meminta tolong dan apabila saya tanya kenapa, adakah ayah jatuh tetapi dia tidak memberitahu apa-apa.
“Jadi saya minta dia bersabar sekejap dan setibanya di sana tidak lama kemudian, saya terkejut tengok bomba memadamkan kebakaran dan ayah berada di luar rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, mayat mangsa yang rentung ditemukan dalam keadaan tertiarap di bawah runtuhan kebakaran dan siasatan awal tidak menemukan unsur jenayah.
Katanya, kebakaran turut melibatkan dua lagi rumah di kiri dan kanan mangsa yang terjejas lima peratus.
“Bomba menerima panggilan kira-kira pukul 10.39 pagi dan didapati rumah kayu berkenaan sudah 80 peratus terbakar sebaik tiba tiga minit kemudian.
“Walaupun mangsa cuba diselamatkan suaminya tetapi gagal atas faktor umur dan tiada kudrat,” katanya.
Md. Hilman berkata, Jusoh dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk menerima rawatan. -UTUSAN ONLINE