Padah leka sambut hari jadi, dikompaun langgar SOP - Utusan Malaysia

Padah leka sambut hari jadi, dikompaun langgar SOP

Sekumpulan individu yang dikompaun semasa sambutan hari jadi di salah sebuah pusat hiburan di Kota Kinabalu, Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kelekaan 17 individu berhibur sambil meraikan hari jadi di sebuah pusat hiburan menyebabkan kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang, malam tadi.

Kesemua individu berusia antara 21 hingga 45 tahun itu dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, 17 individu itu antara 21 orang yang ditahan semasa serbuan di sebuah pusat hiburan di Kompleks Asia City semalam.

Daripada 21 yang ditahan, 17 orang adalah warga tempatan manakala, tiga individu lagi adalah warga asing yang ditangkap mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit berbahaya kepada awam.

“Pemilik premis turut dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan beroperasi semasa PKP. Lesen pusat hiburan ini juga didapati tamat pada 2018 dan tindakan akan diambil atas kesalahan tersebut.

“Ujian air kencing mendapati empat orang lelaki serta empat wanita positif dadah jenis syabu dan ditangkap mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya selepas operasi bersepadu pematuhan SOP PKP semalam.

Operasi yang dijalankan bermula pukul 11 malam hingga 2 pagi tadi disertai pegawai dan anggota Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Semasa operasi, kesemua individu itu sedang berhibur di dalam sebuah bilik yang dikunci di pusat hiburan tersebut. 

Keadaan itu menghalang pasukan polis untuk masuk ke dalam dan terpaksa menggunakan kekerasan dengan memecahkan pintu masuk kerana tidak mendapat kerjasama daripada kesemua individu tersebut.

Mohd. Zaidi turut memberi amaran kepada semua pemilik pusat-pusat hiburan di pusat bandaraya itu untuk mematuhi SOP yang ditetapkan dan tidak beroperasi semasa tempoh PKP.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas pemilik pusat hiburan yang cuba curi-curi beroperasi,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya