NOW harap hukuman setimpal lelaki pukul isteri - Utusan Malaysia

NOW harap hukuman setimpal lelaki pukul isteri

NOR ASHIDAH IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Nation Of Women (NOW) Johor berharap lelaki yang memukul isteri ketiganya yang sedang hamil sehingga koma dalam kejadian awal bulan lalu dikenakan hukuman yang setimpal agar insiden seperti itu tidak berulang pada masa hadapan.

Pengerusinya, Nor Ashidah Ibrahim berkata, pihaknya berharap mangsa akan mendapat keadilan yang sewajarnya dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi mangsa kini sedang hamil anak pertama.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan keganasan rumah tangga yang berlaku di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin, di sini. 

“Sesuai dengan motto NOW yang sentiasa peka terhadap isu wanita termasuk perihal keganasan rumah tangga, maka kami meminta pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci terhadap kes yang berlaku dan mengenakan hukuman yang berat agar peristiwa seperti ini tidak sewenang-wenangnya berulang lagi.

“NOW Johor mendoakan semoga mangsa dan anak di dalam kandungannya terus kuat dan selamat. Semoga ahli keluarga mangsa juga tabah dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Khamis lalu, suspek, Rosmaini Abd. Raof, 38, dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan memukul isteri ketiganya yang hamil sehingga koma dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Tani Kampung Aman pada 4 Mei lalu. 

Bagaimanapun, lelaki beristeri tiga itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul isteri mudanya sehingga mendatangkan kecederaan parah.

Dalam pertuduhan itu, Rosmaini didakwa memukul isterinya Jahidah Nordin@Sylvester yang sedang hamil anak pertama hingga mengalami kecederaan parah pada kepala, keretakan tulang belakang dan rahang hingga mengakibatkan isterinya koma.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, mangsa menunjuk­kan perkemba­ngan positif, manakala kandungannya yang berusia 12 ming­gu juga stabil. 

Adiknya, Fauziah Nordin, 40, berkata, kakaknya mula membuka mata minggu lalu dan boleh bernafas tanpa peralatan khas tetapi belum dapat bertindak balas terhadap respons yang diberikan.  – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya