Ibu nekad dukung bayi 20 hari, selamatkan dua lagi anak daripada kebakaran -

Ibu nekad dukung bayi 20 hari, selamatkan dua lagi anak daripada kebakaran

SEBUAH rumah di Kampung Che Lijah hangus dalam kebakaran di Dungun hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang ibu yang masih dalam pantang nekad mendukung bayi lelakinya yang berusia 20 hari di samping memimpin dua anaknya yang berusia dua dan lima tahun demi menyelamatkan nyawa mereka dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Che Lijah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, Norhamimah Sulaiman, 39, bersama ketiga-tiga anaknya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, ibu mentuanya, Mek Mah Ismail, 81, cedera ringan pada kaki kiri selepas terpijak bara api ketika cuba mengambil air untuk memadamkan kebakaran itu.

Norhamimah berkata, dia yang tinggal di bahagian belakang rumah ibu mentuanya hanya menyedari mengenai kebakaran itu selepas terdengar jeritan wanita tersebut dari ruang tamu.

NORHAMIMAH SULAIMAN

“Penglihatan emak kurang jelas dan semasa berada di ruang tamu dia terdengar bunyi letupan kecil lalu bangun memeriksa di bilik, namun terkejut apabila nampak api.

“Panik dengan situasi itu, saya segera selamatkan ketiga-tiga anak dan ibu mentua tanpa sempat mengambil beg duit mahu pun barangan keperluan lain,” katanya ketika ditemui pemberita.

Norhamimah berkata, walaupun sedih kerana tinggal sehelai sepinggang namun dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat. 

Katanya, ketika kejadian suami bersama empat lagi anaknya keluar berniaga di kedai runcit di kampung itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Sharizal Shamsudin berkata, pihaknya dengan kekuatan 21 anggota mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan kebakaran tersebut.

“Rumah kayu jenis separuh kekal menyebabkan api merebak pantas dan lorong rumah mangsa yang sempit dengan hanya satu laluan masuk dan keluar menyukarkan jentera bomba untuk ke lokasi kejadian,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya