PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui beliau merupakan perancang utama dalam mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau bagaimanapun berkata, ia bukan untuk menjadikan Menteri Luar itu sebagai Perdana Menteri seterusnya.
Sebaliknya, bekas Menteri Pelancongan itu berkata, langkah berkenaan sebagai memberi mandat kepada Ahli Parlimen Sembrong itu untuk menjadi jurucakap kepada kesemua 25 wakil rakyat BN sekiranya dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong.
“Saya boleh sahkan perkara itu kerana saya sendiri yang mengusahakannya sejak dua minggu lalu, setelah kita dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti sekali lagi ke Istana Negara bermula 9 Jun lalu.
“Yang tandatangan SD ini melibatkan 25 Ahli Parlimen BN daripada keseluruhan 41 orang. Tujuannya, disebabkan kami sudah hilang keyakinan terhadap ketelusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mewakili parti sewaktu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong tempoh hari,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Isnin lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ada usaha mengumpulkan SD yang mana beliau mendakwa sebagai cubaan pihak tertentu mengambil alih kerajaan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pontian itu mendakwa, beliau dan ‘rakan-rakan’ lain tidak didekati, atau diminta menandatangani apa apa pengakuan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii sebelum itu menafikan pembabitan UMNO dalam usaha mengumpul tandatangan SD dalam kalangan ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan mengambil alih kerajaan. -UTUSAN ONLINE