ANALISIS
NAMA besar di peringkat nasional dan negeri dijangka menghangat perebutan kerusi Parlimen Parit Buntar dalam Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).
Ini berikutan exco kerajaan negeri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Abdul Yunus Jamahri dikatakan mahu bertanding di situ.
Abdul Yunus merupakan bekas ADUN PKR yang menang tiga pilihan raya umum berturut-turut di DUN Kuala Kurau namun kemudiannya menyertai Bersatu.
Dengan kedudukannya sebagai ADUN dan exco, Abdul Yunus kerap mendekati masyarakat melalui program rasmi dan membantu rakyat di Parit Buntar.
Sikap merendah diri, tidak terlalu mengamal protokol, kurang berpolitik, melebihkan kerja dan mudah menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang politik, menyebabkan beliau amat disenangi rakyat.
Berdasarkan itu, Bersatu tiada pilihan lain untuk mencari calon sesuai di Parlimen Parit Buntar apatah lagi ia merupakan antara kerusi panas di Perak dalam PRU-15.
Abdul Puhat, anak kelahiran Tanjung Piandang, kalah dalam PRU-15 namun dia dikenali dan amat disenangi penduduk Parit Buntar.
Begitu pun, Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Ali juga berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon malah beliau dilihat sudah memulakan gerak kerja lapangan dengan mendekati dan menyantuni penduduk Parit Buntar.
Calon Bersatu dan UMNO yang mempunyai nama dan pengaruh bakal menggugat penyandang kerusi Parlimen Parit Buntar, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (Amanah).
Namun, Mujahid dikatakan tidak lagi seaktif sebelum ini di kawasan sejak Pakatan Harapan (PH) tidak lagi menjadi kerajaan.
Namun, pengaruhnya tetap ada dan masih kuat apatah lagi beliau menang Parlimen Parit Buntar tiga penggal berturut-turut sejak tahun 2008, dua kali atas tiket Pas dan PRU-14 atas tiket Amanah.- UTUSAN ONLINE