KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini gagal menghalang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) daripada melaksanakan penghakiman terus Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau membayar tunggakan cukai pendapatan melebihi RM1.7 bilion.
Perkara itu ditentukan selepas Hakim Datuk Ahmad Bache menolak permohonan beliau untuk menangguhkan penghakiman terus itu sementara rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan, Rabu ini.
Bekas Perdana Menteri selaku defendan turut diperintah membayar kos RM15,000.
Selepas lapan bulan penghakiman terus dikeluarkan pada 22 Julai tahun lalu sehingga notis kebankrapan difailkan pada 4 Februari lalu, beliau belum membayar apa-apa tunggakan sebaliknya memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu.
Dalam keputusannya yang disampaikan melalui e-mel, Hakim Ahmad menyatakan, Najib boleh mengadakan rundingan dengan LHDN (plaintif) untuk menjelaskan tunggakan cukai secara ansuran sementara menunggu satu lagi rayuannya di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), dilupuskan.
Penghakiman bertulis setebal 25 muka surat itu menyatakan, kegagalan menangguhkan pelaksanaan penghakiman terus bukan satu kehilangan kepada Najib kerana beliau masih boleh berunding dengan LHDN untuk membuat beberapa pembayaran sementara menunggu rayuannya dilupuskan.
Ini kerana, Peguam Kanan Hasil telah membayangkan kepada mahkamah bahawa beliau telah membuat pertemuan dengan pegawai-pegawai LHDN untuk perbincangan, namun hingga kini tiada usaha dibuat untuk menjelaskan sebarang pembayaran dalam bentuk ansuran.
Menurut Hakim Ahmad, LHDN telah mewujudkan skim pembayaran yang membolehkan pembayar cukai dibenarkan membayar tunggakan cukai secara ansuran yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak secara `situasi menang-menang’ (win-win situation).
Ujar beliau, mahkamah sedia maklum mengenai amalan baik seperti itu kerana kira-kira 90 peratus kes-kes kegagalan membayar cukai di mahkamah dalam tempoh setahun, diselesaikan dengan cara tersebut bagi mengelakkan perbicaraan yang tidak perlu dan menjimatkan masa mahkamah.
Selain itu, menurut beliau, pujian harus diberikan kepada pegawai-pegawai LHDN yang sentiasa terbuka mengadakan perbincangan dengan pembayar cukai ketika tempoh sukar pandemik Covid-19 selain mematuhi undang-undang bahawa cukai boleh dibayar secara ansuran dalam tempoh yang ditetapkan seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa defendan tidak mempunyai alasan yang kukuh bagi membolehkan mahkamah menangguhkan pelaksanaan penghakiman terus terhadapnya.
Hakim Ahmad turut berpendapat, Najib gagal menunjukkan keadaan-keadaan istimewa yang boleh memuaskan hati mahkamah.
Beliau menyentuh hujah peguamnya bahawa Najib berisiko kehilangan kedudukan sebagai Ahli Parlimen kerana prosiding kebankrapan telah difailkan terhadapnya.
Mahkamah bagaimanapun bersetuju dengan plaintif bahawa hujah kerana `takut kehilangan’ itu tidak boleh dikaitkan dengan keadaan istimewa.
Hakim Ahmad turut berpendapat, LHDN mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk memberikan pampasan kepada defendan jika beliau berjaya dalam rayuannya di SCIT.
Ujarnya, mahkamah mengguna pakai penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam satu kes yang menggunakan istilah `bayar dahulu, bincang kemudian (pay first/talk later), walaupun ungkapan itu agak kasar namun ia paling tepat membayangkan niat penggubal undang-undang ketika merangka akta berkaitan cukai.
Lagipun, sebagai bekas Menteri Kewangan beliau sepatutnya mengetahui peruntukan undang-undang manakala LHDN sebagai agensi pengutip cukai adalah di bawah bidang tugasnya ketika itu selain jumlah yang terlibat pula sangat besar.
LHDN selaku plaintif ketika berhujah diwakili oleh Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad manakala Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah. -UTUSAN ONLINE