Nahas LRT: 2 pemandu, lampu berkuasa tinggi antara 23 cadangan - Utusan Malaysia

Nahas LRT: 2 pemandu, lampu berkuasa tinggi antara 23 cadangan

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan mengarahkan agar Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) perlu menyediakan dua pemandu atau hostler jika tren mengalami kerosakan.

Usaha itu antara 23 cadangan penambahbaikan sistemik yang disarankan Jawatankuasa Siasatan mengenai insiden nahas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara akhir bulan lalu.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) menetapkan hanya seorang pemandu mengemudi tren tersebut ke Depoh Lembah Subang.

“Namun, susulan kemalangan itu, Prasarana mesti ada pemandu untuk mengendalikan tren secara manual dengan seorang lagi sebagai pegawai keselamatan dan pematuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini bagi membentangkan laporan jawatan kuasa itu yang sudah pun diserahkan kepada mesyuarat Kabinet semalam.

Panel jawatan kuasa tersebut dibentuk sehari selepas kejadian pertembungan dua tren LRT pada 24 Mei lalu yang mengakibatkan 47 penumpang parah manakala 116 lagi cedera ringan.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, setiap tren ada dua ‘Vehicle On-Board Communication’ (VOBC), namun tren 40 dikesan mengalami masalah VOBC pada 6.26 petang tarikh insiden.

“Ia dikosongkan dan dibawa ke depoh secara kawalan operasi tren automatik (ATO) dengan satu VOBC masih berfungsi tetapi pada 8.13 malam, VOBC yang kedua pula rosak,” katanya.

Justeru, pemandu dikerah membawa Tren 40 ke Stesen Dang Wangi yang berdekatan lokasi ia terkandas kerana Pusat Kawalan Operasi (OCC) tidak dapat mengemudi secara ATO.

Bagaimanapun pada masa sama ujarnya, Tren 80 yang ditahan di Stesen KLCC tiba-tiba dilepaskan menuju ke Stesen Kampung Baru sebelum berlanggar Tren 40 pada 8.33 malam.

Ekoran itu, jawatankuasa tersebut mencadangkan perlu ada dua pemandu jika kedua-dua VOBC rosak dan mereka dibekalkan lampu suluh berkuasa tinggi ketika di dalam terowong.

“Ini memudahkan pemandu tahu arah tujuan mereka apabila dapat lihat nombor trek yang gelap di laluan bawah tanah serta elak keliru menuju ke utara atau selatan,” tegas Ka Siong.

Beliau bagaimanapun menafikan aspek penyelenggaraan lemah menjadi punca VOBC gagal berfungsi kerana siasatan jawatankuasa itu mendapati tren terbabit diselenggara amat baik.

Sebaliknya, beliau berkata, rakaman log pemandu itu menunjukkan kurang komunikasi ekoran keadaan gelap dalam terowong menyebabkan OCC tidak dapat mengenal pasti jejak trek.

Selain dua cadangan jangka pendek itu yang perlu dilaksanakan Prasarana dalam masa tiga bulan, tiga lagi meliputi antaranya senarai semak pemandu dan OCC ketika situasi kritikal.

Juga ditubuhkan dua jawatankuasa iaitu pengawasan yang mengaudit tanda landasan dan keselamatan bagi melaporkan kepada Prasarana dan Rapid Rail Sdn. Bhd. untuk semakan.

Jawatankuasa Siasatan itu turut mengesyorkan 11 lagi saranan jangka sederhana untuk dilaksanakan antara tiga hingga enam bulan dan baki tujuh penambahbaikan jangka panjang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya