PETALING JAYA : Meskipun kira-kira 700 agensi haji dan umrah berhadapan cabaran pandemik Covid-19 sekali gus menyebabkan pendapatan masing-masing merudum, namun, ia tidak menghalang mereka menerokai cabang perniagaan baharu demi menampung kos operasi termasuk gaji mutawif.
Menceritakan pengalaman kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Eiman Travel & Tours, Datuk Mohd. Zawawi Yusof berkata, selain menjual kurma diimport dari Mekah, pihaknya juga menjual karpet dan makanan kering seperti kacang dan badam turut sama dibawa masuk dari tanah suci dengan ia juga melibatkan kerjasama mutawif.
Katanya, walaupun pada mulanya dia ‘mencuba nasib’ menjual kurma, namun, ia berjaya mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya bagi mereka merindui suasana tanah suci Mekah dan sehingga tidak mampu menampung permintaan.
“Selain itu, syarikat kami beralih kepada aktiviti korban khususnya menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi dengan mengambil tempahan rakyat kita yang mahu melaksanakan ibadah itu di Mekah.
“Sudah menjadi adat perniagaan iaitu ada pasang dan surutnya, memandangkan sudah dua kali kami tidak dapat menjalankan perkhidmatan haji dan lebih setahun untuk umrah, sudah tiba masanya melangkah ke cabang lain demi menjana pendapatan pekerja dan kelangsungan perniagaan,” katanya.
Ujar penceramah agama itu lagi, beliau mengakui mengalami kerugian setelah segala tempahan umrah dan haji dibatalkan serta-merta kerana tidak boleh merentas negara, namun, tidak berhasrat memberhentikan 25 pekerja termasuk mutawif kerana memahami mereka mempunyai tanggungjawab kepada diri dan keluarga.
Justeru, katanya, beliau sedaya upaya menjana pendapatan selain daripada agensi umrah dan haji dengan menerokai aktiviti terbaharu seperti mana yang diceburi pada hari ini.
“Covid-19 merupakan ujian Allah dan kita sebagai umat Islam hendak bersabar dengan segala ketentuannya, Insya Allah dengan berkat ujian ini, kita akan berjaya pada masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengurus CS Holidays, Naim Shauqy Asri berkata, beliau telah menceburi bidang pertanian setelah perniagaan agensi perkhidmatan haji dan umrah juga sama terkesan sejak pandemik melanda global dan Malaysia pada tahun lalu.
Katanya, beliau perlu melakukan satu perancangan baharu dengan tidak boleh berpeluh tubuh dan hanya menanti waktu sebenar pembukaan pintu sempadan bagi membawa umat Islam menunaikan haji atau umrah.
“Alhamdulillah kini saya telah menjadi petani dan sedikit sebanyak dapat menampung segala kekurangan syarikat agensi haji dan umrah.
“Saya juga menawarkan kepada kakitangan termasuk mutawif untuk bekerja dengan saya. Namun mungkin mereka tidak berminat dan menolak tawaran saya serta mencari pekerjaan baharu,” katanya.- UTUSAN ONLINE