PUTRAJAYA: Taman Sri Purnama, Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan antara tiga lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak selama 14 hari bermula Ahad sehingga 3 Julai ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lagi lokaliti ialah di Bahagian Pantai Barat, Sabah iaitu Grace Villa Condo, Sembulan, Daerah Kota Kinabalu dan PPRT Kampung Pasir Putih, Daerah Putatan.
“PKPD di Kampung Gusi Kinarut, Daerah Papar, Bahagian Pantai Barat dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Bahagian Kudat dilanjutkan dua minggu lagi.
“Enam lokaliti pula di negeri berkenaan ditamatkan PKPD serentak esok iaitu dua lokaliti di Bahagian Tawau tamat awal iaitu Jalan Budi Sri Tanjung dan Taman Pelangi, Daerah Semporna.
“Lokaliti lain pula tamat PKPD seperti dijadualkan antaranya ialah di Taman Wawasan, Bahagian Tawau dan Taman Wangsa, Jalan Telipok, Daerah Kota Kinabalu selain dua Lokaliti di Daerah Papar iaitu Kampung Tengah Kinarut dan Kampung Benoni, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tidak ketinggalan berakhirnya PKPD seperti yang sudah pun dijadualkan pada esok kata beliau, ialah tiga perkampungan berbeza dalam Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta, Perak iaitu Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah dengan merekodkan cuma lima kes Covid-19 sepanjang PKPD.
Turut ditamatkan PKPD di negeri tersebut secara serentak esok ialah dua perkampungan masing-masing dalam Mukim Pengkalan Hulu dan Mukim Kerunai di Daerah Hulu Perak membabitkan Kampung Air Panas dan Kampung Kuak Luar di Mukim Pengkalan Hulu serta Kampung Alai dan Kampung Baharu di Mukim Kerunai.
Juga berakhir PKPD seperti yang dijadualkan pada esok di negeri berkenaan ialah Taman Kerian Tambahan, Daerah Kerian dan Taman Berkat, Daerah Larut-Matang-Selama termasuk Felda Redong 1, Mukim Labis, Daerah Segamat, Johor.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 759 individu ditahan semalam dengan 711 daripadanya dikompaun manakala 48 lagi direman hasil pemantauan yang membabitkan 101,692 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.
“Kesalahan tertinggi semalam masih lagi gagal merekod butiran di premis sebanyak 140 kes diikuti tiada jarak fizikal dengan 136 kes, tiada memakai pelitup muka (135), merentas kawasan dan makan di premis (123), tidak patuh arahan PKP (94), membawa penumpang berlebihan (55) dan lain-lain lagi (76).
“Seramai 37 pendatang asing tanpa izin ditahan dan sembilan kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng selain sebanyak 212 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui 11 aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 500 peruncit, 149 pemborong dan 32 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,613 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya 25 premis dikompaun dan satu premis diberikan nasihat.- UTUSAN ONLINE