PASIR GUDANG: Selaras pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang memerlukan penggunaan peranti, seorang pelajar yang meraih keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memanfaatkan sepenuhnya teknologi yang ada.
Muhammad Azri Shah Azian, 19, yang mendapat keputusan 6A+ dan 3A bagi subjek diambilnya berkata, dia sering mengulangkaji mata pelajaran yang lemah dengan merujuk aplikasi YouTube.
“Banyak manfaat jika kita gunakan betul-betul teknologi yang ada, misalnya di YouTube kita boleh mencari bahan pembelajaran yang mendedahkan teknik-teknik menjawab soalan dengan mudah terutamanya dalam subjek tertentu.
“Dari situlah saya mengulang kaji pelajaran, lebih-lebih lagi pada hari saya terlewat bangun untuk mengikuti PdPR, di samping bertanya terus kepada guru dan rakan-rakan yang lain kerana saya tidak mengikuti kelas tuisyen,” katanya ketika ditemui di Bandar Bistari Perdana, baru-baru ini.
Menurut anak sulung daripada lima beradik yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai itu, dia memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam semua mata pelajaran diambil ketika peperiksaan percubaan SPM sebelum ini.
Tambahnya, kejayaan tersebut juga bergantung kepada disiplin yang dilakukan di rumah dengan menetapkan waktu untuk belajar selain ibu bapa banyak membantu memberi sokongan agar kekal menumpukan perhatian dalam pembelajaran.
Muhammad Azri yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam bidang sains teknologi memberitahu, dia jpernah mengikuti kelas pengajian bahasa Jepun sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke negara matahari terbit itu. – UTUSAN ONLINE