CYBERJAYA: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengarahkan pemaju menutup segera lubang-lubang besar dan dalam yang terdapat pada permukaan jalan susulan aduan dikemukakan penduduk Taman Desa Indah Putera, baru-baru ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, pemaju diminta menggunakan ‘crusher run’ dan ia kaedah jangka pendek bagi membolehkan pengguna menggunakan laluan itu dengan selamat.
“Ini juga dapat membantu pemadatan ‘crusher run’ sebelum kerja-kerja penurapan dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, bagi kaedah jangka panjang pula, setiap pemaju terlibat diarahkan menaik taraf jalan tersebut secara lengkap bersama-sama dengan sistem perparitan dan lampu awam.
“Kerja-kerja menaik taraf tersebut akan dibuat secara perkongsian kos memandangkan terdapat kepentingan pada setiap pemaju untuk menggunakan jalan tersebut.
” MPSepang mengambil maklum terhadap isu ini serta kesulitan yang dialami penduduk dan akan membentangkan penyelesaian dalam mesyuarat penyelarasan akan datang,” katanya.
Terdahulu Utusan Online melaporkan kira-kira 440 penduduk Taman Desa Indah Putera di sini, khuatir dengan ancaman keselamatan mereka dengan tindakan kenderaan berat yang sering melalui jalan utama ke perumahan sehingga mengakibatkan kerosakan jalan dan infrastruktur awam lain. -UTUSAN ONLINE