KOTA TINGGI: Program Mobalisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di bawah Kementerian Perpaduan Negara dilihat mampu membantu mempercepatkan lagi kadar pemberian vaksin terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, MOVAK melibatkan tiga unit gerak kerja iaitu unit panggilan, unit mobilisasi dan unit tindakan komuniti dikendalikan sukarelawan Komuniti Rukun Tetangga (KRT).
Menurutnya, MOVAK merupakan inisiatif kementerian untuk menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bertujuan untuk meningkatkan jumlah pendaftaran dan penerimaan vaksin dalam kalangan rakyat.
Jelasnya, program yang dilaksanakan secara kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tempoh dua bulan itu juga akan digerakkan ke negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
“Fungsi tiga unit gerak kerja di bawah MOVAK ini di mana unit panggilan akan membuat panggilan pengesahan dan peringatan kepada penerima vaksin yang telah mendaftar berkenaan tarikh temujanji.
“Unit mobilisasi menyediakan pengangkutan untuk penerima vaksin Covid-19 mengambil suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Manakala unit tindakan komuniti menyediakan perkhidmatan ‘outreach’ bagi membantu pendaftaran pengambilan vaksin, memberi maklumat, kempen kesedaran tentang pengambilan vaksin serta pematuhan SOP juga pemakluman berkenaan keputusan-keputusan kerajaan berhubung Covid-19,” katanya selepas melancarkan MOVAK di Dewan Felda Lok Heng Barat, hari ini.
Pada majlis itu, Halimah turut menyerahkan sebuah bas yang telah diubahsuai untuk dijadikan unit mobilisasi vaksin Komuniti kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kota Tinggi dan Pengerusi Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) Peringkat Daerah Kota Tinggi.
Dalam program sama, seramai 498 penduduk Felda Lok Heng mendapat suntikan vaksin Covid-19 daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi.
Sementara itu, ujar Halimah, selain penyediaan PPV bergerak, unit gerak kerja MOVAK di Kota Tinggi hari ini turut menyediakan enam buah kenderaan di bawah unit mobilisasi.
“Unit panggilan dan unit tindakan komuniti melibatkan seramai 20 orang anggota KRT dalam Daerah Kota Tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE