PETALING JAYA : Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan pemberian moratorium automatik seperti yang dituntut ramai pihak sebenarnya tidak efektif seperti yang disangka.
Menurut Pemangku Ketua Pemudanya, Wong Chia Zen, ramai yang marah kepada kerajaan apabila pelaksanaan sekatan pergerakan penuh kali ini tidak diberi moratorium secara automatik.
“Langkah ini ditafsir ibarat kerajaan tidak prihatin, memihak kepada bank-bank yang terbukti keuntungan meningkat dalam pandemik ini. Hakikatnya, moratorium secara automatik tidak membantu seperti kita sangkakan, “ ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, walaupun kebanyakan syarikat atau pun individu terjejas akibat Covid-19, tetapi hakikatnya ada juga yang untung seperti seperti industri logistik dan industri pembuatan sarung tangan kerana barangan atau perkhidmatan memenuhi keperluan masyarakat dalam tempoh Covid-19 ini.
“Jikalau mereka tidak perlu diberikan moratorium, adakah moratorium pukal membantu dalam kes ini?, “ soalnya.
Menurut beliau lagi, kerajaan sentiasa menambah baik dasar dengan mengambil kira maklum balas rakyat daripada dasar-dasar yang lepas dan membolehkan ia digubal supaya lebih bersasar.
Katanya, statistik Bank Negara Malaysia menunjukkan 85 peratus peminjam memilih untuk meneruskan bayaran ansuran semasa moratorium automatik diberhentikan pada September tahun lepas.
Ini menunjukkan bahawa golongan yang berada dalam 15 peratus tersebut adalah mereka yang lebih memerlukan perhatian daripada kerajaan.
Bank-bank telah menyampaikan komitmen supaya golongan yang memerlukan bantuan akan diberi moratorium.
Katanya lagi, bagi mereka yang mampu meneruskan ansuran bank, bayaran tersebut membolehkan bank untuk meminjam kepada mereka yang lebih memerlukannya.
“(Justeru) moratorium pukal terbukti tidak membantu seperti mana yang kita sangkakan, “ ujarnya .
Maka hujah tersebut adalah rasional seperti yang disebutkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
“Saya kira keputusan kerajaan bagi tidak melaksanakan moratorium pukal telah mengambil kira statistik yang lepas supaya dapat menumpu perhatian kepada golongan yang terjejas. Tindakan ini tidak popular tetapi amat diperlukan kerana bantuan kerajaan adalah terhad, “ ujarnya.- UTUSAN ONLINE