Mohd. Razlan luah kebimbangan dalam surat kepada YDP Agong - Utusan Malaysia

Mohd. Razlan luah kebimbangan dalam surat kepada YDP Agong

Surat yang dipercayai diutus kepada Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Dengan niat ingin meluahkan kebimbangan terhadap isu semasa yang melanda negara sekarang seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhamad Rafii hari ini mengutus surat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda  Yang di-Pertuan Agong.

Satu surat yang dipercayai salinannya diterima Utusan Malaysia  dengan kandungannya menghuraikan kebimbangan menjadi asas ia ditulis dan di sini dipetik sedikit apa yang diluahkan dalam surat berkenaan.

Kebimbangan pertama kata Mohd. Razlan, adalah penularan tidak terkawal Covid-19 yang beliau sifatkan menghairankan kerana  banyak negara di seluruh dunia memperlihatkan penurunan kes, namun sebaliknya di negara ini. 

“Amat menyedihkan apabila Malaysia masih kekal dalam carta teratas yang mencatatkan kes Covid-19 tertinggi.

“Saban hari, rakyat diberitakan mengenai status terkini Covid-19 dan ia benar-benar meresahkan,“ujarnya.

MOHD. RAZLAN

Beliau mendakwa, musibah Covid-19 dengan angka hampir mencecah 10,000 pesakit sehari bukanlah satu angka yang hadir dengan sendiri sebaliknya akibat daripada kegagalan kepimpinan kerajaan dalam membuat keputusan yang tepat.

Mengenai kebimbangan kedua Mohd, Mohd Razlan mengutarakan isu keadaan ekonomi  yang beliau sifatkan peningkatan kes akan menyebabkan pelabur asing menjauhkan diri daripada negara ini.

“Rakyat dihidangkan dengan pelbagai bentuk lawatan kepimpinan negara ke luar negara tetapi tiada bentuk pelaburan yang berjaya dilaporkan. Banyak majikan diarahkan mengurangkan jumlah pekerja ke pejabat dan terdapat majikan yang tidak mempunyai pilihan selain menutup operasi sementara dan menamatkan perkhidmatan pekerja bergaji hari, “ujarnya. 

Rentetan itu, ramai yang terpaksa mencari pendapatan lain dengan pelbagai cara demi survival diri dan keluarga. 

Kebimbangan ketiga yang dikongsikan adalah berkaitan amalan demokrasi sekarang.

Mohd Razlan mendakwa, kepimpinan Perdana Menteri terbukti gagal bagi memastikan wabak Covid-19 dapat diselesaikan seperti yang dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda bagi memohon pengisytiharan Darurat Proklamasi sebelum ini.

Beliau turut memetik kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba bahawa sistem perkhidmatan kesihatan negara boleh lumpuh menjelang 5 Jun ini sekiranya sekatan pergerakan menyeluruh tidak dilakukan. 

“Kami sebagai rakyat biasa bertanya pada diri, mengapakah data-data ini dibiarkan begitu sahaja tanpa ada tindakan daripada Perdana Menteri semenjak awal lagi, “ujarnya. 

Beliau mempertikaikan mengapa ditunggu kes sudah menjadi kucar-kacir baru mahu membuat keputusan yang besar.

“Ampun Tuanku, rakyat tidak tahu di mana lagi mahu mengadu nasib. Ramai ahli keluarga telah pergi mengadap Ilahi meninggalkan kami disebabkan Covid-19. Ya, ajal maut adalah ketentuan Allah S.W.T namun  sebagai rakyat mengharapkan ada sinar untuk kami kembali kepada kehidupan biasa, “ ujarnya lagi.

Mohd. Razlan turut berharap wakil rakyat dapat berbuat sesuatu meskipun berdepan arahan sekatan pergerakan penuh .

“Bagaimana kerajaan boleh melunaskan tanggungjawab terhadap rakyat tanpa memohon bantuan wakil-wakil rakyat seluruh negara. Tempoh darurat perlu ditamatkan segera kerana ia tidak lagi berperanan untuk menangkis pandemic Covid-19, “ dakwa beliau.

Mengakhiri luahan kebimbangan, beliau berharap supaya nasi tidak menjadi bubur kerana kesilapan hari ini tiada upaya lagi untuk mengubahnya di kemudian hari. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya