PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dinasihatkan untuk menyemak fakta sebelum menuding jari dan mengelak daripada tanggungjawab berkaitan isu feri di Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa Ka Siong yang telah menghentikan perkhidmatan Feri Pulau Pinang walaupun ramai tidak bersetuju dengan keputusan itu.
“Mungkin Ka Siong bukan Menteri Kewangan dan tidak faham prosedur kewangan dan Belanjawan tetapi beliau haruslah menyemak fakta sebelum membuat tuduhan kerana setiap sen peruntukan yang diumumkan oleh saya tetap ditunaikan.
“Ka Siong masih cuba mengelak tanggungjawab atas tindakan beliau menghentikan perkhidmatan Feri Pulau Pinang yang ikonik pada 1 Januari 2021 padahal tindakannya itu telah mendapat tentangan hebat daripada rakyat khususnya di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Terdahulu, Ka Siong berkata bahawa feri tersebut telah dihantar ke Limbungan Bagan Dalam pada 27 November 2019 kerana berada dalam keadaan uzur.
Guan Eng yang juga merupakan bekas Menteri Kewangan Malaysia menjelaskan ketika kementerian ketika diterajui oleh dirinya telahpun mengumumkan peruntukan untuk perkara itu walaupun tidak disebut dalam Belanjawan 2020.
“Ka Siong kemudiannya cuba menyalahkan saya kononnya tidak membeli alat ganti dari Belanda sungguhpun saya telah mengumumkan peruntukan RM30 juta kepada Penang Ports Sdn Bhd (PPSB) yang tidak disenaraikan dalam Belanjawan 2020.
“Ka Siong lupa bahawa Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengesahkan di Parlimen pada 17 Disember 2020 bahawa, saya sebagai Menteri Kewangan telah pun mengenakan syarat pemberian bayaran wang tunai RM30 juta kepada PPSB iaitu perkhidmatan feri mesti diteruskan.
Walaupun begitu, Ka Siong dikatakan telah membatalkan keputusan Pakatan Harapan (PH) dalam hal ini dan telah menghentikan perkhidmatan feri tersebut.
“Ka Siong seringkali mendakwa bahawa saya mengumumkan peruntukan sebagai Menteri Kewangan tetapi peruntukan tersebut tidak disenaraikan dalam Belanjawan 2020.
“Beliau cuba memberikan gambaran salah seolah-olah jika sesuatu peruntukan tidak disenaraikan, maka wang peruntukan tidak disalurkan. Ini adalah tidak benar kerana sebarang pengumuman peruntukan oleh saya sebagai Menteri Kewangan sememangnya dilaksanakan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE