Melaka pasarkan lambakan tembikai Terengganu - Utusan Malaysia

Melaka pasarkan lambakan tembikai Terengganu

GHAZALE Muhammad (tengah) menyerahkan barangan PST secara dalam talian kepada pembeli di Japerun Rim, Jasin, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Sebanyak 10 tan metrik tembikai akan dijual pada harga serendah RM0.80 sekilogram di negeri ini bagi membantu mengatasi lambakan buah tersebut sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ghazale Muhammad berkata, bekalan telah diambil dari Terengganu dan dijangka ditambah mengikut permintaan tempatan.

Katanya, tembikai berkenaan akan dijual di Pasar Tani Pasar Segar Terkawal (PST), Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat dan gerai buah-buahan yang terpilih.

“Sepanjang sekatan pergerakan penuh ini, pekebun-pekebun tembikai di Terengganu berdepan dengan masalah lambakan bekalan, malah, harga buah tersebut turut jatuh mendadak dalam pasaran.

“Melihat keadaan ini, FAMA Melaka telah bekerjasama dengan FAMA Terengganu untuk membantu memastikan buah-buahan ini terjual, walaupun pada kadar RM0.80 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di PST Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rim di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ghazale memberitahu, pihaknya akan menambah beberapa lokasi pusat pandu lalu di setiap daerah negeri ini bagi pengambilan pembelian barangan PST secara dalam talian.

“Setakat kini, terdapat dua lokasi pandu lalu iaitu di Pejabat FAMA di Ayer Keroh dan Japerun Rim bagi pengambilan barangan pembelian PST.

“Namun, dalam masa terdekat ini, kita akan buka beberapa lagi lokasi pandu lalu PST bagi menggalakkan lebih ramai membuat pembelian barangan keperluan harian secara dalam talian untuk pergerakan yang minimum,” ujarnya.

Jelasnya, setakat ini, pasar dalam talian itu menyediakan lebih 20 produk bekalan komoditi utama harian termasuk ayam dan daging segar, sayur-sayuran, barangan runcit terpilih, buah-buahan serta produk industri asas tani usahawan tempatan.

Setakat dua hari pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, nilai jualan PST mencecah RM17,000 dan dijangka akan terus meningkat sepanjang tempoh dua minggu ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya