Melaka buka pusat saringan Covid-19 sendiri - Utusan Malaysia

Melaka buka pusat saringan Covid-19 sendiri

MAKMAL PBM boleh menjalankan ujian RTK-Ag dan RT-PCR sebanyak 250 sampel setiap hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka kini mempunyai makmal saringan Covid-19 sendiri setelah pusat ujian di bawah Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) itu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan, semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, makmal diagnostik itu akan menjalankan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) dan Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) untuk mengesan individu yang dijangkiti Covid-19.

Katanya, sistem makmal tersebut juga akan disokong dengan sistem TracVirus.

“PBM kini dibenarkan untuk menjalankan kedua-dua ujian berkenaan, sekali gus berupaya menyokong aktiviti saringan yang dijalankan oleh fasiliti kesihatan KKM.

“Kita berharap makmal ini dapat membantu mempercepatkan usaha kerajaan mengawal jangkitan Covid-19 dalam komuniti dan mengurangkan beban sampel di Hospital Melaka serta fasiliti kementerian, khususnya di zon selatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, makmal tersebut mampu menerima sebanyak 250 sampel RTK-Ag dan RT-PCR setiap hari.

“Keputusan RTK-Ag boleh diperoleh dalam masa kurang daripada satu jam, manakala RT-PCR dalam tempoh 24 jam.

“Selain daripada ujian makmal, PBM juga boleh menawarkan perkhidmatan kaunter ujian saringan bergerak (drive-thru) atau ‘on-site’ dengan kerjasama klinik dan hospital panel,” ujarnya.

Jelasnya, individu atau syarikat yang ingin membuat ujian saringan Covid-19 juga boleh berurusan dengan makmal tersebut melalui tempahan awal di talian 010-5302600.

Sulaiman berkata, pihaknya turut berharap kapasiti ujian saringan Covid-19 dapat ditingkatkan di Melaka dan mendukung cadangan kerajaan negeri yang mewajibkan setiap individu melakukan ujian calitan Covid-19 untuk mendapatkan kebenaran rentas negeri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya