Melaka benarkan ibadah korban - Utusan Malaysia

Melaka benarkan ibadah korban

ABDUL HALIM Tawil bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar SOP ibadah korban di Pejabat Mufti, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ibadah korban dibenarkan dilaksana di negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bermula 20 hingga 23 Julai depan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, kebenaran itu tidak terpakai di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelas beliau, ibadah korban hanya dibenarkan dilakukan di dua rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) iaitu di Merlimau dan Masjid Tanah manakala rumah penyembelihan swasta pula di Umbai dan Sungai Putat.

“Bagi tempat penyembelihan sementara, kebenaran diberikan kepada penternak yang mempunyai kemudahan kawasan sembelihan dan jawatan kuasa masjid, surau dan institusi yang mempunyai kawasan lapang dan kemudahan sembelihan.

“Pemohon hendaklah mendapat kelulusan daripada JPV Melaka dan pihak berkuasa agama negeri. Bilangan haiwan ternakan yang dibenarkan adalah lima ekor sehari bagi lembu dan kerbau sementara 10 ekor sehari bagi kambing dan biri-biri,” katanya dalam sidang akhbar khas SOP ibadah korban di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, tiada kata putus pihak berwajib di Melaka berhubung pelaksanaan ibadah korban yang menggusarkan ramai pengusaha ternakan ruminan.

Situasi itu jelas berbeza de­ngan tahun lalu apabila kebenaran dimaklumkan lebih awal, sekali gus memberi kesempatan kepada penternak menerima tempahan lebih banyak.

Dalam pada itu, tambah Abdul Halim, bilangan kehadiran petugas dihadkan hanya 25 orang sahaja pada satu-satu masa tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 dan individu berisiko rendah sahaja.

Menurutnya, mereka yang disyaki atau kontak rapat kepada pesakit Covid-19, penghidap penyakit kronik dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan bertugas.

“Penganjur hendaklah memeriksa suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman, kehadiran direkodkan melalui aplikasi MySejahtera dan buku kehadiran. Petugas perlu memakai sarung tangan, pelitup muka selain memastikan penjarakan fizikal.

“Kawasan sembelihan perlu dibersih dan dinyahkuman, penyediaan makanan kepada petugas secara bungkus dan aktiviti memasak daging korban di lokasi sembelihan dilarang sama sekali,” ujarnya.

Mengenai kehadiran peserta korban, Abdul Halim menegaskan mereka tidak dibenarkan berada di kawasan pengurusan korban melainkan peserta adalah sebahagian petugas yang dilantik manakala pengambilan daging korban pula adalah secara pandu lalu atau penghantaran ke rumah.

“Pihak berkuasa seperti polis, JPV, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak berkuasa tempatan akan memantau pelaksanaan korban bagi memastikan SOP dipatuhi,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya