MELAKA: Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membangunkan aplikasi Jejak Asnaf bertujuan memberi kemudahan kepada rakyat untuk menyalurkan sebarang maklumat individu yang memerlukan bantuan kebajikan di bawah saluran dana zakat negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, proses kerja yang lebih cekap dapat dilaksanakan seperti penyampaian maklumat berkaitan kebajikan rakyat.
Jelas beliau, maklumat tersebut akan disampaikan terus kepada agensi yang berkaitan melalui penglibatan langsung rakyat agar dapat mengurangkan keciciran golongan yang memerlukan bantuan.
“Lima fungsi yang terdapat dalam aplikasi ini termasuklah pendaftaran pengguna, semakan dan pengisian maklumat asnaf, semakan status maklumat atau aduan serta infografik berkaitan aduan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Sulaiman, antara kelebihan aplikasi tersebut adalah sebagai saluran kemudahan bagi penyampaian maklumat berkaitan individu susah, mengurangkan kes tular yang dibuat tanpa menyemak status individu dan mewujudkan rakyat yang prihatin terhadap kesusahan asnaf.
Katanya, di samping itu, ia meningkatkan kecekapan cara kerja dan sistematik serta boleh digunakan oleh sesiapa, di mana sahaja.
“Individu yang memerlukan bantuan juga boleh membuat permohonan untuk diri sendiri melalui aplikasi ini dengan menyertakan maklumat asas, aduan ringkas, kategori bantuan diperlukan dan maklumat gambar asnaf sebelum rekod aduan akan disiasat oleh petugas MAIM untuk diproses.
“Justeru, kerajaan negeri berharap usaha menyalurkan bantuan kepada golongan sasar dapat dijalankan dengan lebih cekap dan telus, sekali gus mengurangkan masalah birokrasi,” jelasnya.
Pengguna peranti android boleh memuat turun aplikasi Jejak Asnaf MAIM di Play Store sementara pengguna Iphone bakal menyusul tidak lama lagi. -UTUSAN ONLINE