PETALING JAYA: MDC Asia Berhad akan mengambil alih pengurusan dan operasi Hospital Pusrawi Damansara dari Pusrawi Corporation Sdn. Bhd. dengan transaksi bernilai kira-kira RM8.5 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Aslan Bacho berkata, pengambilalihan itu akan menjadi satu anjakan paradigma yang besar buat kumpulan syarikat perubatan itu menuju ke tahap yang lebih tinggi, termasuk di peringkat sejagat.
Kata beliau, kumpulan itu memang sudah merancang untuk menubuhkan hospital dalam tempoh terdekat dan pengambilalihan itu menjadi batu loncatan untuk merealisasikan hasratnya itu.
“MDC Asia akan membuat pembaharuan dari pelbagai aspek seperti mewujudkan suasana yang baharu, rombakan pengurusan serta memberikan nafas baharu kepada Hospital Pusrawi Damansara supaya dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, sekali gus memantapkan persaingan dengan penyedia perkhidmatan swasta lain.
“Pada peringkat awal ini, MDC Asia akan membuat pelaburan sehingga RM10 juta untuk menjadikan hospital tersebut bernafas baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Aslan, MDC Asia akan mengambil alih 60 peratus pemilikan hospital tersebut terlebih dahulu melalui transaksi beli habis pengurusan (MBO) sebelum pengambilalihan penuh dijangka dimuktamadkan pada 1 Ogos.
Hospital Pusrawi Damansara mempunyai kapasiti 32 katil dan MDC Asia merancang untuk mengembangkan kakitangan hospital tersebut kelak dengan penambahan lapan doktor pakar dan 35 orang jururawat.
Menurut Aslan, Hospital Pusrawi dipilih berdasarkan rekodnya sebagai perintis hospital berasaskan Islam dan ia bertepatan dengan hala tuju MDC Asia untuk menjadi peneraju penyedia perkhidmatan kesihatan halal di Asia.
“Pengambilalihan ini dijangka akan memberikan 20 peratus hasil kepada pendapatan tahunan kumpulan MDC Asia.
“Kami juga menyasarkan untuk memiliki empat buat pusat kesihatan dan pusat pergigian lagi,” katanya.
Ketika ini, MDC Asia mengoperasikan 10 buah cawangan klinik My Dental Care dan Poliklinik Richmedic. – UTUSAN ONLINE