PARIT BUNTAR: Dakwaan kononnya penduduk yang terlibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Kerian Tambahan di sini tidak dibantu oleh kerajaan dengan bekalan barang makanan, tidak benar.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri menyediakan bantuan yang diperlukan oleh penduduk terutama bekalan makanan dan telah diagihkan kepada semua kediaman rumah di taman perumahan itu tanpa ada yang keciciran.
Menurutnya, petugas barisan hadapan di taman itu telah mengagihkan bekalan makanan keperluan harian seperti beras, tepung, gula, minyak masak, telur, ikan sardin tin, sayur, bihun dan ayam kepada setiap 535 buah rumah yang berpenghuni semalam.
“Jika ada penduduk yang mendakwa tidak menerima bantuan bekalan makanan, itu tidak benar. Kita agihkan kepada semua tanpa pilih kasih, semuanya telah dapat mulai semalam.
“Kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana rakyat khususnya yang sedang menjalani kuarantin di kawasan PKPD terputus bekalan makanan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Kerian Tambahan yang dikenakan PKPD di sini hari ini.
Menurutnya, terdapat banyak agensi termasuk penghulu dan pemimpin tempatan di kawasan terlibat PKPD yang boleh diadukan masalah kecemasan atau kekurangan bekalan makanan.
Beliau berkata, dakwaan tiada bantuan bekalan makanan mungkin disebabkan mereka yang terlibat PKPD rasa tertekan kerana tidak dapat keluar untuk membeli sesuatu yang diinginkan.
“Ini adalah darurat iaitu suasana semua kena sekatan pergerakan penuh (lockdown) dan perlu berada dalam rumah.
“Jadi penduduk di sini tidak dibenarkan keluar membeli sesuatu barangan sesuka hati kerana kita bimbang mereka ini dijangkiti atau menjangkiti orang lain,” katanya.
Mengenai bantuan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu penduduk di kawasan PKPD, Saarani mengalu-alukannya namun mereka disaran menghantar makanan kering atau bahan asas, bukannya makanan yang sudah dimasak dan berkuah.
“Kita juga menetapkan setiap bentuk makanan yang dihantar perlu disanitasi manakala NGO yang menghantar makanan perlulah berdaftar bagi memudahkan petugas sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Itu adalah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Saarani ditanya mengenai dakwaan dalam media sosial ramai penduduk di taman berkenaan tidak menerima bekalan makanan semasa PKPD mulai 6 Jun lalu. – UTUSAN